Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberitahu sejumlah 790 orang pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) akan dihantar pulang ke destinasi masing-masing, malam ini.

Sejumlah sembilan pusat perlepasan terdiri daripada IPT di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

“Penghantaran pelajar malam ini merupakan penghantaran yang pertama di seluruh negara.

“Pergerakan pelajar ke 17 destinasi di tiga buah negeri di utara tanah air akan bermula dari pusat pelepasan pada jam 9 malam menggunakan perkhidmatan 50 buah bas yang telah di sanitasi,” kata menterinya, Datuk Noraini Ahmad.

Sembilan pusat pelepasan tersebut ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Teknologi Malaysia cawangan Kuala Lumpur (UTM KL), Universiti Sains Islam Malaysia cawangan Kuala Lumpur (USIM KL) dan Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Daripada jumlah tersebut, 32 buah bas menuju ke Negeri Kedah, 13 buah bas ke Negeri Pulau Pinang dan 5 buah bas lagi menuju ke Negeri Perlis.

Seorang wakil keluarga akan menjemput pelajar di Ibu Pejabat Polis(IPD)/Pejabat Daerah yang telah dikenalpasti.

“Bagi keluarga yang tidak dapat menjemput pelajar di lokasi ketibaan, urusan penghantaran pelajar akan diuruskan oleh agensi kerajaan yang terlibat,” kata Noraini lagi.

Untuk malam ini sahaja, 89 pelajar dari UIAM, 150 pelajar dari UKM, 164 pelajar dari UM, 80 pelajar dari UPM, 146 pelajar dari UiTM Shah Alam, 50 pelajar dari UPNM, 49 pelajar dari UTM KL, 31 pelajar dari USIM KL dan 31 pelajar ari Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. -MalaysiaGazette