Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menghalang orang ramai untuk menderma darah kepada Tabung Darah Negara dan hospital kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun tempoh PKP masih berlangsung, namun kempen derma darah turut berjalan seperti biasa dan mereka boleh melepasi sekatan jalan raya (SJR).

“Setiap tahun khususnya bila tibanya Ramadhan, sekarang kita sedang kekurangan darah 33 peratus.

“Kami menggalakkan mereka yang ingin pergi ke hospital atau tabung darah negara menderma darah mereka, jadi tidak menjadi masalah.

“Saya telah berbincang hal ini dengan Ketua Polis Negara, mereka yang ingin ke hospital, tidak ada masalah, sekiranya sekatan itu semua, maklumkan kepada mereka,” katanya pada sidang media harian KKM di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan bahawa bekalan darah di Tabung Darah Negara berkurangan sebanyak 33 peratus sejak pelaksanaan PKP.

Menurut Ismail Sabri, Pusat Darah Negara telah memohon kebenaran untuk beroperasi dan pergerakan penderma darah untuk menderma darah dari jam 10 pagi sehingga 10 malam.

Dalam pada itu, Noor Hisham juga berkata, pelaksanaan PKP juga telah membantu pihaknya dalam mengurangkan jumlah penggunaan darah khususnya bagi kes kemalangan.

“Ada baiknya PKP ini kerana membantu kita mengurangkan kes trauma sekarang, kemalangan yang memerlukan darah, permintaan darah juga kurang.

“Beberapa kes yang kita ada misalnya hemofilia, jadi kita mungkin memerlukan beberapa kempen derma darah juga (bagi keperluan pesakit ini),” katanya. – MalaysiaGazette