Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah (kanan) bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan menjangkakan trend satu digit jangkitan kes positif Covid-19 pada pertengahan Mei ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya optimis sasaran tersebut boleh dicapai walaupun terlewat sedikit daripada Thailand yang merekodkan kes positif satu digit pada hari ini.

Menurutnya, Thailand mempunyai bilangan kes yang lebih kecil sungguhpun puopulasinya lebih besar daripada Malaysia kerana negara berdepan dengan kes perhimpunan yang besar seperti perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling.

“Kita disebabkan perhimpunan tabligh yang mana kesemua peserta itu pulang ke kampung halaman dan mukim mungkin pada 1 Mac, saya hanya dimaklumkan oleh rakan sejawatan di Brunei pada malam 9 Mac jadi kita sudah bertindak lewat 10 hari.

“Kes itu pula merebak ke semua kampung dan mukim,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Tambah beliau, walaupun KKM berdepan kes perhimpunan tabligh itu, namun ia berjaya mengekang penularan virus itu.

“Sekiranya kita tidak menghadapi insiden perhimpunan Sri Petaling menyaksikan lebih16,000 berhimpun, mungkin kes kita lagi rendah daripada yang dicatatkan Thailand hari ini.

“Itu jangkaan kita dan sekarang kes negara ini, 30 hingga 40 peratus kes ada kaitan dengan himpunan Sri Petaling.

“Unjuran dan pemodelan untuk mencapai sasaran satu angka itu sudah ada tapi kita setakat dua minggu berturut-turut mencapai dua digit kes positif.

“Jadi kita unjurkan mungkin dalam seminggu dua lagi mungkin pertengahan bulan Mei nanti kita akan capai digit tunggal atau satu angka,” katanya.

Kata Noor Hisham, ia hanya boleh dicapai sekiranya rakyat terus berdisiplin dan memberi kerjasama mengamalkan norma baharu kehidupan yang disyorkan.

“Kalau tidak ada keperluan di luar, duduk rumah maka kita tidak akan ada jangkitan dari seorang kepada seorang.

“Lagipun sekarang kita menyaksikan kebolehjangkitan pun kurang, jadi kita harapkan kes kebolehjangkitan sekarang 1,700 boleh dikurangkan lagi kepada 500 ke bawah, itu yang penting di sini,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Lagipun thailand sudah bertindak lebih awal berbanding malaysia semasa era 22bulan ph,thailand tlh terlebih dahulu awal dlm memantau pergerakan keluar masuk rakyat dan org luar dlm memasuki dan keluar dari negaranya sebaik shaja tersebarnya berita penularan wabak dari china sedangkan malaysia ketika itu masih sebuk mengusung pelancong china masuk ke negara malaysia dan menafikan bahayanya berita ttg wabak yg menular

  2. Setuju, kerajaan pentadbiran lalu lebih mementingkan tourist dollar daripada nyawa rakyat sendiri !

Comments are closed.