KUALA LUMPUR – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) hari ini menyumbangkan sejumlah 800 bungkusan barang keperluan asas kepada anggota keselamatan negara.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada Program Foodbank YaPEIM dan Program Inspirasi Musa’adah Ramadan YaPEIM.
Katanya, bagi tujuan itu, pihaknya telah membelanjakan sehingga RM1.6 juta daripada Tabung Amanah YaPEIM bagi membantu meringankan beban kumpulan sasar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Inisiatif ini diteruskan memandangkan negara kita masih di dalam tempoh PKP yang akan memasuki fasa ke-4 bermula 29 April hingga 12 Mei 2020.
“Pegawai dan anggota keselamatan yang berkhidmat di barisan hadapan ini, mereka juga memerlukan bantuan daripada masyarakat.
“YaPEIM akan menjadi pencetus dan kita sumbangkan kepada barisan hadapan lain seperti doktor dan jururawat,” katanya pada sidang media di Bangunan YaPEIM, Kg Attap, hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Program Inspirasi Musa’adah Ramadan YaPEIM dengan penyerahan sumbangan berupa barang keperluan asas kepada anggota keselamatan negara.
Turut hadir Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Parihah Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), Yusry Yusoff.
Dalam pada itu, Mohd Daud juga berkata, Program Foodbank YaPEIM 2.0 turut merangkumi Program Beli & Sumbang, bagi membantu peniaga-peniaga kecil yang terjejas ketika PKP.
“Program ini telah memberi manfaat kepada 64,018 orang di 287 lokasi terjejas sepanjang tempoh PKP dari 18 Mac lalu hingga sekarang,” katanya.
Dalam majlis sama, IBFIM turut menyerahkan cek sumbangan berjumlah RM10,000 melalui YaPEIM untuk disampaikan kepada golongan asnaf dalam bentuk barang keperluan asas.
Menurut Mohd Daud, inisiatif sumbangan barang keperluan asas sudah lama dilakukan YaPEIM namun pemberian kepada barisan hadapan merupakan kali pertama.
“Mudah-mudahan banyak lagi agensi lain akan tampil ke hadapan untuk membantu mereka yang memerlukan dalam kalangan barisan hadapan,” katanya.
Katanya lagi, YaPEIM tidak memberi sumbangan dalam bentuk alat perlindungan peribadi (PPE) sebaliknya badan itu hanya menyalurkan dalam bentuk makanan.
“YaPEIM adalah satu badan untuk melihat pembangunan usahawan. Jadi kita membeli daripada usahawan dan kita kembalikan semula kepada masyarakat.
“Secara tidak langsung kita juga membantu ekonomi masyarakat dan ia memberi impak yang positif kepada ekonomi negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette