Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan rakyat supaya tidak patah semangat apabila melihat jumlah kes baharu positif Covid-19 yang melonjak hari ini.

Selepas beberapa hari merekodkan kes baharu positif di bawah 50 orang, hari ini jumlahnya meningkat setinggi 94 pesakit hari ini.

Semalam, hanya 31 kes baharu direkodkan manakala 40 kes baharu dicatat hari sebelumnya.

“Jangan dukacita apabila mendengar jumlah kes baru Covid hari ini setinggi 94 pesakit.

“72 daripada 94 kes ini merupakan kes import melibatkan warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara dan telah dikuarantinkan sebaik sahaja mereka pulang seperti diwajibkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Baki 22 kes adalah akibat penularan tempatan.

“Ini bermakna tempoh 42 hari PKP yang kita melalui besama tetap berkesan untuk membendung Covid dalam negara.

“Jangan patah semangat!,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Hari ini rakyat Malaysia mula memasuki tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat sehingga 12 Mei nanti.

Sementara hampir kesemua arahan masih dikekalkan, PKP fasa keempat menyaksikan sedikit kelonggaran berbanding PKP fasa ketiga apabila kerajaan membenarkan dua orang wakil keluarga untuk keluar membeli barang makanan dan keperluan berbanding sebelum ini yang hanya terhad kepada ketua keluarga sahaja.

Individu yang keluar ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan atau perubatan pula, dibenarkan untuk disertai mana-mana orang lain yang dianggap perlu secara munasabah, selaras Seksyen 4(1)(b)(ii) peraturan sama.

Pada masa sama, warta kerajaan itu mengekalkan peraturan sebelum ini, iaitu mereka yang mahu keluar membeli makanan, barangan keperluan harian, perubatan, rawatan dan lain-lain, hanya dibenarkan bergerak tidak melebihi 10 kilometer (km) dari kediaman masing-masing.

Namun, orang ramai diberi kelonggaran bergerak melebihi 10 km jika keperluan itu tiada dalam lingkungan jarak berkenaan dari rumah masing-masing.

Seksyen 5 pula memperuntukkan orang ramai perlu mendapatkan kebenaran bertulis dari balai polis berhampiran kediaman masing-masing, jika mahu melakukan pergerakan jarak jauh atau bagi sebab selain keperluan harian dan perubatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast