Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hadir pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Terdapat penurunan kes positif Covid-19 yang ketara antara minggu ke-17 yang mana hanya tiga sampel disahkan positif daripada 2,168 sampel kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang diambil.

Ia berbanding dengan minggu epidemiologi ke-12 pada 28 Mac lalu yang mana 33 sampel disahkan positif daripada 263 jumlah sampel kes SARI iaitu 11.15 peratus, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 34,113 sampel telah diambil daripada aktiviti-aktiviti survelan dan daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak 6,100 adalah sampel klinikal survelan iaitu  penyakit seperti influenza (ILI) dan SARI, yang mana 71 sampel disahkan positif Covid-19 atau 1.16 peratus.

“Bagi kes ILI lapan kes positif Covid-19 daripada 1,322 sampel manakala, kes SARI 63 kes positif Covid-19 daripada 4,778 sampel,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, KKM juga memantau keputusan ujian wabak berkenaan yang dijalankan di sektor swasta, yang mana ujian itu dihantar ke makmal swasta.

Kaatnya, terdapat 84 kes positif dikesan daripada 22,081 ujian yang dijalankan di makmal-makmal swasta itu yang jumlahnya 0.38 peratus.

“Aktiviti survelan ini sememangnya bertindak sebagai sistem pengesanan awal dan sistem amaran awal bagi penularan Covid -19 di Malaysia.

“Pihak KKM akan terus menjalankan aktiviti survelan Covid-19 di Malaysia walaupun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, di mana aktiviti ini akan terus dimantapkan
lagi termasuk di sektor swasta dan melibatkan pelbagai zon,” ujarnya. – MalaysiaGazette