drunk sodomised sodomy driver lorry attendant
ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor akan menghadap sembilan pertuduhan merogol dan mencabul dua wanita warga Mongolia di Mahkamah Petaling Jaya esok.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya telah menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa suspek.

“Esok dia akan dituduh dalam enam pertuduhan dibawah Seksyen 376 (2)(f) Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan lagi bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaaan kerana merogol dan mencabul Mangsa pertama berusia 20 tahun.

“Manakala dia juga akan menghadapi dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2)(f) Kanun Keseksaan juga kerana merogol mangsa kedua berusia 36 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek yang bertugas di Daerah Petaling Jaya telah digantung kerja sejak Khamis lalu.

Beliau hadir di Mahkamah Sesyen 3 Klang hari ini dan menghadapi dua pertuduhan dalam kes sama atas kesalahan memperdagangkan kedua-dua wanita itu bagi maksud eksploitasi seks dengan penyalahgunaan kuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dan boleh dihukum di bawah Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Suspek didakwa melakukan kesalahan tersebut antara pada pukul 10.30 malam 10 April lalu hingga 8.30 malam 11 April lalu jam di bilik nombor 203 dan 302, Hotel PJ Luxe Boutique, Petaling Jaya.

Pegawai polis berkenaan yang diwakili peguambela Shah Rizal Abdul Manan mengaku tidak bersalah ke atas kedua dua pertuduhan tersebut sebelum serahan dokumen kes ditetapkan 17 Jun ini dan diikat jamin sebanyak RM10,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Sebelum ini Nik Ezanee melaporkan pada malam 11 April lalu, pasukan polis yang maklumat dan risikan berjaya menyerbu hotel berkenaan dan menyelamatkan kedua-dua wanita yang ditahan suspek dalam sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Suspek ditahan kira-kira pukulĀ  9.30 malam pada hari yang sama dan direman lima hari untuk melengkapkan kertas siasatan. – MalaysiaGazette

Inspektor dituduh memperdagangkan dua wanita Mongolia