Tertuduh kes memperdagangkan dua wanita Mongolia hadir bagi menghadapi pertuduhan bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 di Mahkamah Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 29 APRIL 2020

KLANG – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor didakwa di Mahkamah Sesyen 3, Klang pagi tadi atas kesalahan memperdagangkan dua wanita Mongolia

Hazrul Hizham Ghazali, 30, telah didakwa dengan dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdagangkan satu perempuan warga negara Mongolia berusia 20 tahun yang bukan merupakan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi seks dengan penyalahgunaan kuasa.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh juga didakwa telah melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi mangsa warga Mongolia iaitu memperdagangkan mangsa berusia 36 tahun yang bukan merupakan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi seks dengan penyalahgunaan kuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Jika disabitkan dia boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun tetapi tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 10 April 2020 jam 10.30 malam hingga 1 April jam lebih kurang 8.30 malam di bilik nombor 203 dan 302 di Hotel PJ Luxe Boutique, Petaling Jaya.

Bagaimanapun, tertuduh tidak mengaku bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan itu dan memohon dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Al-Saifi Hashim memohon mahkamah supaya tertuduh diikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM15,000 untuk setiap pertuduhan, pasport perjalanan ditahan dan dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguam tertuduh, Shah Rizal Abdul Manan merayu mahkamah mempertimbangkan jumlah wang jaminan dikurangkan serendah-rendahnya dengan mengambil kira kedudukan tertuduh sebagai penjawat awam yang kini telah digantung kerja sementara sejak minggu lalu, selain gaji bulanan sebanyak RM1,900 hanya dibayar separuh.

“Tertuduh juga tanpa sebarang alasan memikul tanggungjawab dan menghadirkan diri ke mahkamah pagi ini, tanpa sebarang niat atau cubaan untuk melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan.

“Yang Arif wang jaminan dikenakan hanya untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah dan bukannya untuk dihukum. Tertuduh juga menyedari natijah yang akan menimpa sekiranya tidak hadir atau melarikan diri.

“Tertuduh juga kini berdepan kesukaran untuk mencari kerja sewaktu PKP ini dan hanya mempunyai RM10,000 sahaja untuk dijamin oleh sepupunya dari Johor, maka saya mohon jaminan serendah RM10,000 untuk setiap pertuduhan ditetapkan dan kami tidak mempunyai bantahan terhadap syarat tambahan yang dikenakan,” katanya.

Dalam pertuduhan sama, Mohammad Al-Saifi juga meminta mahkamah supaya tidak membenarkan media melaporkan atau menyiarkan sebarang maklumat atau berita yang boleh menyebabkan mangsa-mangsa dikenal pasti secara spesifik termasuk pendedahan identitinya kepada umum sama ada sebelum, semasa atau selepas perbicaraan selesai di mahkamah.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Tasnim mengarahkan tertuduh diikat jamin dengan wang RM10,000 untuk setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah jika ada.

Beliau juga menjelaskan kepada 12 orang pengamal media yang mendengar pertuduhan pagi tadi mengenai kandungan Seksyen 58 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) bagi membolehkan wartawan memahami keperluan seksyen tersebut.

Hakim kemudian menetapkan 17 Jun depan sebagai tarikh serahan dokumen kes.

Terdahulu tertuduh telah ditahan pada malam 11 April lalu oleh pasukan polis Daerah Petaling Jaya dan direman lima hari untuk membantu siasatan kes.

Terdahulu kedua-dua wanita Mongolia itu diselamatkan oleh polis dalam serbuan di sebuah hotel di kawasan Petaling Jaya pada hari sama selepas mangsa berusia 20 dan 37 tahun itu didakwa dirogol secara paksaan oleh pegawai tersebut.

Kedua-dua mangsa ditahan pegawai berkenaan dalam sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah ke negara ini.

Kedua-dua mangsa itu kini diletakkan di bawah rumah perlindungan di bawah seliaan D11 Bukit Aman sementara polis memohon Perintah Perlindungan Sementara (IPO) bagi menyiasat kes di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, polis telah membuka dua kertas siasatan dalam siasatan melibatkan dua wanita Mongolia itu iaitu kes rogol dan antipemerdagangan manusia selepas polis mengesyaki wujud unsur pemerdagangan kedua-dua wanita itu. -MalaysiaGazette