Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Polis telah menangkap 21,749 orang kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak arahan itu dikuatkuasakan 18 Mac lalu sehingga semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut 947 orang telah dituduh di mahkamah.

Katanya, pasukan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 828 sekatan jalan raya di seluruh negara termasuk memeriksa 637,982 buah kenderaan semalam.

“Sebanyak 37,753 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,669 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Menurut Ismail Sabri, polis juga telah menangkap 643 individu berbanding 489 orang pada Isnin kerana ingkar PKP, merangkumi 576 individu yang direman dan 67 individu dijamin polis.

Sementara itu sebanyak 4,764 operasi Sanitasi Awam telah dilakukan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac yang lalu termasuk 12 zon merah.

“Sebanyak 8,445 premis kerajaan, premis perniagaan dan kawasan awam telah disanitasi.

“Semalam (28 April), sebanyak 245 operasi sanitasi meliputi 60 Zon Merah dan Kuning di 13 negeri, termasuk 40 operasi di Sabah, 40 operasi di Sarawak dan 39 operasi di Johor.

“Operasi sanitasi semalam merangkumi 34 bangunan Kerajaan, 22 tempat awam, 65 pusat perniagaan dan 6 pasar raya,” tambahnya.

Dalam pada itu Ismail turut memaklumkan 24,323 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin sejak 3 April 2020.

“Sejak 17 April, 10,291 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang,” katanya lagi.-MalaysiaGazette