Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Sebanyak 18 buah hospital disediakan di Sarawak untuk kegunaan saringan kes Covid-19 berbanding lima buah hospital sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdulah berkata, empat hospital yang dikenal pasti sebagai pusat rawatan wabak itu ialah Hospital Umum Sarawak, Hospital Miri, Hospital Bintulu dan Hospital Sibu dengan jumlah katil yang digunakan iaitu 736 buah.

Katanya, hospital-hospital itu dilengkapi dengan 63 katil rawatan kritikal dengan 112 mesin bantuan pernafasan (ventilator).

“Selain daripada itu, terdapat 5 buah fasiliti yang telah dikenalpasti sebagai pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah dengan kapasiti 901 buah katil,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Noor Hisham memberitahu, terdapat empat buah makmal yang boleh menjalankan ujian pengesahan Covid-19 iaitu di Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu, Hospital Miri, dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Secara keseluruhan, jumlah ujian pengesahan yang dapat dijalankan di empat makmal itu adalah 898 ujian, dan ia akan dipertingkatkan ke 1,040 ujian sehari, katanya.

Tambah beliau, Hospital Umum Sarawak bakal mendapat sebuah mesin Lab Turbo yang dijangka beroperasi pada awal Mei 2020 dengan kapasiti 200 ujian sehari.

Manakala Hospital Bintulu pula dijangka menjalankan ujian mulai pertengahan bulan Mei dengan kapasiti 30-40 ujian sehari, ujarnya.

Jelas beliau, sekiranya ada keperluan, KKM akan menghantar sampel ke makmal hospital di Semenanjung Malaysia atau ke makmal-makmal swasta sebagai salah satu perancangan peningkatan kapasiti makmal jangka masa pendek. – MalaysiaGazette