Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertahankan Bank Negara Malaysia (BNM) yang didakwa melakukan u-turn dalam isu pemberian moratorium atau penangguhan bayaran selama enam bulan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya pelik kenapa ramai yang kata BNM u-turn dan bank-bank tetap akan mengenakan faedah ke atas pinjaman walaupun mereka memberikan moratorium ataupun tangguhan bayaran enam bulan.

“Saya tak tengok ini sebagai u-turn kerana dari mulanya pakej prihatin diumumkan, perkara ini sudah dimaklumkan,” ujarnya dalam kenyataan di Facebooknya malam ini.

Beliau dalam hantarannya juga memuatnaik kenyataan BNM yang menyatakan:
“Faedah/keuntungan akan terus terakru (yakni diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman/pembiayaan yang ditangguhkan dan peminjam/pelanggan perlu menunaikan pembayaran balik yang tertangguh pada masa akan datang. Pembayaran balik pinjaman/pembiayaan akan disambung semula selepas tempoh penangguhan.”

“Saya sudah dua kali tulis tentang isu ini serta menjelaskan kenapa bank-bank tetap perlu mengenakan faedah. Saya juga tahu ramai yang kurang puas hati bahawa bank-bank akan terus mengira dan mengenakan faedah dalam tempoh penangguhan bayaran.

“Kita perlu faham bahawa faedah ke atas pinjaman adalah pendapatan utama bank.
Bank masih ada kos operasi serta kos kakitangan mereka sepanjang tempoh penangguhan ini,” ujarnya.

Pada masa yang sama, kata Najib, mereka masih perlu membayar faedah kepada pendeposit akaun simpanan dan simpanan tetap.

“Jika kita paksa bank untuk mengecualikan faedah bulanan pinjaman, nanti bank kata mereka juga akan kecualikan bayaran faedah kepada pendeposit pulak! Masa itu ramai lagi yang susah  terutama pesara yang bergantung kepada bayaran faedah dari simpanan usia tua mereka untuk kelangsungan hidup.

“Penangguhan ansuran ini juga memberi sedikit sebanyak impak kepada bank kerana ianya juga mengurangkan keupayaan untuk memberi pinjaman baru. Bank adalah amat penting bagi ekonomi negara. Jika bank-bank runtuh, ekonomi kita turut runtuh.

“Sebab itu kita perlu faham dan bertolak-ansur. Jika kita mampu bayar ansuran dalam tempoh penangguhan enam bulan ini, bayar sahaja untuk kurangkan faedah terkumpul,” kata Najib.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Setuju tu. Baru lah kami faham
    Terkma kasih DSNAJOB kerana memberikan kefahaman tentang perkara ini

  2. Masalahnya level komunikasi BNM bebal. Kenyataan mrk ini mengelirukan dan menyusahkan semua org. Patut team komunkasi BNM dipecat dan lantik DS Najib sebagai ketua komunikasi korporat BNM.

Comments are closed.