Anggota ATM membuat kawalan keselamatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selayang Baru, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 APRIL 2020

GOMBAK – Aspek keselamatan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Selayang Baru terus dipertingkat dengan kehadiran anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalankan pemantauan dari atas bumbung bangunan.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Zon D yang merangkumi Jalan 3, 5, 7 dan 9 di sini mendapati anggota bertugas menggunakan teropong bagi memantau serta mengawasi pergerakan penduduk setempat di kawasan tersebut.

Dipercayai kawalan keselamatan dari atas bumbung bangunan yang menempatkan unit kediaman serta premis perniagaan itu bertujuan memantau gerak-geri penduduk jika terdapat sebarang cubaan meloloskan diri.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengagihkan bantuan barangan keperluan asas kepada penduduk susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selayang Baru, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 APRIL 2020.

Dalam masa sama, kelihatan sebuah dron yang dilengkapi alat pembesar suara memberikan siren amaran serta nasihat kepada penduduk supaya mematuhi PKP dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil berlegar di udara.

Sementara itu, anggota polis yang melakukan rondaan turut dilihat melarang orang luar daripada menghulurkan barangan melalui celahan kawat duri.

Malaysia Gazette difahamkan apa sahaja bentuk barangan termasuk bekalan makanan yang ingin diberikan kepada penduduk yang berada dalam kawasan PKPD perlu melalui pihak polis yang bertugas.

Penduduk mendapatkan makanan asas dari luar susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selayang Baru, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 APRIL 2020.AT

Sebelum itu, pada 27 April lalu, terdapat laporan berkaitan dua lelaki warga Myanmar ditahan selepas cuba meloloskan diri dari kawasan PKPD dengan menyusup melalui kawat berduri di Jalan Lembah Indah di sini.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6 petang itu berjaya dirakam oleh seorang penduduk yang tinggal di seberang jalan lokasi kejadian.

PKPD di Selayang Baru mulai berkuatkuasa pada 25 April sehingga 3 Mei merangkumi enam parcel iaitu Zon A (Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah), Zon B (Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru), Zon C (Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru).

Selain itu, Zon D (Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru), Zon E (Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru), dan Zon F (Blok A, B dan C, Selayang Makmur).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast