KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan turun 1.9 peratus pada bulan Mac 2020 kepada 102.7 berbanding 104.7 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan 1,063 item yang diliputi dalam IHPR, 41.3 peratus item menunjukkan peningkatan pada Mac 2020 berbanding Mac 2019.

Sebaliknya, 49.6 peratus item menunjukkan penurunan manakala 9.1 peratus item kekal tidak berubah.

Menurutnya, indeks perlombongan mencatatkan kadar penurunan tertinggi iaitu 35.8 peratus, diikuti bekalan elektrik & gas 0.3 peratus dan bekalan air 0.3 peratus.

Walau bagaimanapun, indeks pertanian, perhutanan & perikanan melonjak naik 13.4 peratus dan indeks pembuatan meningkat sebanyak 0.6 peratus.

Bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan turun 3.0 peratus pada Mac 2020 disebabkan oleh penurunan indeks perlombongan (-31.9%), pertanian, perhutanan & perikanan (-2.1%) dan pembuatan (-0.2%).

Sebaliknya, bekalan air dan bekalan elektrik & gas masing-masing mencatatkan peningkatan 0.7 peratus dan 0.2 peratus.

Bagaimanapun, IHPR pengeluaran tempatan pada suku tahun pertama 2020 meningkat sebanyak 0.6 peratus kepada 105.3 berbanding 104.7 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan disumbangkan oleh indeks pertanian, perhutanan & perikanan (13.5%), pembuatan 0.8 peratus dan bekalan
elektrik & gas 0.8 peratus.

Sementara itu, indeks perlombongan dan bekalan air masing-masing merekodkan penurunan 11.0 peratus dan 0.7 peratus.
Bagi perbandingan suku tahunan, IHPR pengeluaran tempatan jatuh 0.9 peratus berbanding suku tahun
keempat 2019. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast