Kamal Ishak sudah lama uzur tetapi keadaannya bertambah teruk sejak sebulan lalu.

KUALA LUMPUR – Pengarah filem Cinta Kita, Kamal Ishak, 66, meninggal dunia di kediamannya di Kulim, Kedah awal pagi tadi.

Berita sedih itu disahkan anak bongsunya, Muhammad Aliff Iman Kamal, 22.

Muhammad Aliff berkata, bapanya tidak mempunyai penyakit kronik lain, selain masalah saraf dan sejak itu, pengarah filem Penyair Malam itu lebih banyak terlantar di katil.

Kata Muhammad Alif lagi, keadaan kesihatan bapanya merosot lebih sebulan lalu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Ayah sudah lama uzur tetapi keadaannya bertambah teruk sejak sebulan lalu. Sebelum ini, arwah masih boleh berjalan tetapi tidaklah terlalu gagah.

“Dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, arwah boleh dikatakan aktif.

“Hari demi hari kesihatan arwah semakin merosot sejak tempoh PKP. Ayah langsung tak boleh menjamah makanan dan akan termuntah apabila disuap makan.

“Bagaimanapun selera ayah agak baik sejak beberapa minggu ini. Saya tak menyangka ayah akan pergi secepat ini memandangkan dua jam sebelum menutup mata, ayah masih boleh bangun dan berjalan ke tandas,” katanya memetik laporan BH Online.

Muhammad Aliff berkata, dia bersyukur ayahnya dijemput Ilahi pada bulan puasa dan arwah menghembuskan nafas terakhirnya di hadapan ibu dan anak-anak kira-kira pukul 2.02 pagi.

Arwah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Taman Haruan, Kulim, Kedah.

“Kemungkinan pengebumian arwah akan lambat sedikit bagi menunggu anak-anak dari Kuala Lumpur untuk menatap jenazah buat kali terakhir,” katanya.

Pengarah yang berasal dari George Town, Pulau Pinang itu meninggalkan balu, Wan Noor Wan Chik, 62, dan sembilan cahaya mata. Tujuh daripadanya menerusi perkahwinan pertama manakala dua lagi bersama Wan Noor.

Selain bergelar pengarah filem, Kamal aktif mengarah drama dan menulis skrip.
Antara skrip yang pernah dihasilkan ialah Nur-Ar-Rahman, Pak Gad, Tunggu Sekejap, Budak Kampong dan banyak lain.

Allahyarham juga turut aktif menulis puisi dan mengarah dokumentari.

Arwah Kamal antara orang yang bertanggungjawab dalam penubuhan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) bersama Dr. Mahadi J Murat, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Anwardi Jamil, Nurhalim Ismail, Othman Zainuddin dan M Yusof Mohamad.
Salam takziah buat seluruh keluarga arwah Kamal Ishak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast