Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak tiga kluster di Sarawak.

Ketiga-tiga kluster itu iaitu, kluster persidangan keagamaan di sebuah Gereja di Kuching, Kluster Person Under Investigations (PUI) Itali dan Kluster Hospital Umum Sarawak (HUS) yang melibatkan anggota kesihatan hospital itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kebanyakan kes daripada kluster di HUS itu adalah berkait rapat dengan kluster terbesar di Kuching, iaitu kluster persidangan keagamaan di sebuah Gereja dengan 29 kes atau 51.8 peratus.

“Berdasarkan siasatan setakat ini, tiada kes berpunca daripada pengendalian kes yang disahkan positif dari wad Covid-19 dan unit rawatan rapi (ICU) di hospital tersebut.

“Sehingga 29 April 2020, seramai 2,003 orang kontak rapat telah dikenalpasti susulan aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif (active case detection) yang dijalankan oleh KKM,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di KKM hari ini.

Noor Hisham berkata, seramai 1,950 anggota kesihatan adalah negatif ujian pengesanan Covid-19.

“Susulan penularan jangkitan Covid-19 ini, langkah pengekangan dan pembendungan yang ketat sedang dijalankan, termasuk melakukan proses nyahcemar di semua kawasan yang berkaitan.

“Aktiviti mobilisasi anggota dari hospital dan klinik kesihatan berdekatan, amalan jarak sosial selamat (social distancing), pemakaian kelengkapan pelindung diri (PPE) mengikut keperluan serta pemantauan yang ketat di semua kawasan umum,” ujarnya.

Jelas Noor Hisham, semua anggota kesihatan yang terbabit akan menjalani ujian saringan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Ujarnya, KKM telah memulakan aktiviti perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial (MHPSS) di semua fasiliti kesihatan KKM termasuk aktiviti bantuan awal psikologi (Psychological First Aid) secara individu dan berkumpulan.

Katanya lagi, sokongan emosi dan kaunseling kepada anggota-anggota kesihatan turut diberikan melalui perkhidmatan atas talian yang telah diwujudkan di peringkat hospital dan negeri.

“Langkah-langkah pembendungan secara aktif ini telah diambil bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan di HUS adalah terjamin.

“Sehingga kini, perkhidmatan-perkhidmatan kritikal di HUS adalah berjalan seperti biasa dan KKM sememangnya memantau rapi perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast