Pape Gueye

LONDON – Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Watford berjaya menandatangani pemain muda Perancis, Pape Gueye secara perjanjian prakontrak yang membolehkan pemain tengah Le Havre itu tiba di Vicarage Road pada 1 Julai ini.

Pemain berusia 21 tahun itu akan meninggalkan kelab Ligue 2 itu secara percuma apabila kontraknya tamat pada musim ini selepas membuat 25 penampilan dalam semua pertandingan.

“Watford berbesar hati mengesahkan kami telah menandatangani pemain tengah Peranis, Pape Gueye.

“Dengan kontrak Gueye bersama kelab Perancis Ligue 2, Le Havre akan tamat pada musim panas ini, perjanjian rasmi secara prakontrak telah pun selesai dipersetujui dan diserahkan kepada pihak yang berkenaan,” kata kelab London itu dalam kenyataan rasminya.

Gueye menyertai akademi Le Havre pada 2012 ketika berusia 13 tahun dan berjaya menembusi skuad senior pada Mei 2017 dan menandatangani kontrak profesional pertamanya sebulan selepas itu.

Dia yang dikenali dengan corak permainan berdisiplin di posisi tengah bertahan telah membuat penampilan bersama skuad kebangsaan Perancis bawah 18 dan 19 tahun sejak 2017.

Kerajaan Perancis pada Selasa telah menamatkan saingan liga domestik di negara tersebut berikutan penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan semua pertandingan bola sepak di Eropah ditangguhkan sejak pertengahan Mac lepas. – MalaysiaGazette