Azali Assoumani

DOHA – Comoros mengesahkan kes jangkitan koronavirus pertama, menjadikannya negara Afrika kedua terakhir melaporkan kes Covid-19.

Negara kepulauan di Lautan Hindi dan Leshoto merupakan dua buah negara di Afrika tanpa sebarang kes koronavirus sebelum ini.

“Pada hari ini (30 April), kerajaan mengisytiharkan kes pertama Covid-19 di Comoros,” kata Presidennya, Azali Assoumani seperti dipetik Al-Jazeera, semalam.

Kes tersebut membabitkan seorang lelaki berumur 50an yang mempunyai mempunyai sejarah perjalanan ke Perancis dan kontak dengan seorang warga Perancis-Comoros.

“Keadaan kesihatan pesakit tersebut semakin baik,” kata Assoumani sambil menambah kontak pesakit itu sedang dijejaki.

Presiden itu berkata, kini keutamaan diberi untuk melindungi sistem penjagaan kesihatan daripada dibebani, yang mana ia akan memaksa kerajaan menggunapakai ‘langkah yang lebih ketat’ untuk melindungi penduduknya seramai lebih 832,000 orang.

“Ketika negara lain yang dijangkiti lebih awal bersedia untuk kembali kepada normal, negara kami memasuki fasa kritikal,” kata Assoumani.

Perintah berkurung pada sebelah malam dilaksanakan pada minggu lalu bagi menghadkan peluang penularan koronavirus di negara itu.

Assoumani berkata, beliau tidak melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya kerana kebanyakan penduduknya melakukan pekerjaan tidak formal.

“Pada peringkat ini, kami tidak boleh menggunapakai langkah yang boleh menjurus kepada drama sosial dan ekonomi,” tambah beliau. – Agensi