KUALA LUMPUR – Golongan pekerja di Malaysia adalah antara yang mengalami kesan paling teruk akibat wabak Covid-19 dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Krisis ini memberi kesan yang tidak seimbang kepada kumpulan pekerja yang berlainan, kata Presiden Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luarbandar Malaysia (DHRRA Malaysia), Saravanan M. Sinapan.
Katanya, di antara yang paling terjejas dalam kalangan mereka adalah pekerja berupah harian yang kehilangan sumber pendapatan akibat pergerakan yang terbatas dalam tempoh PKP serta terpaksa mengharungi pelbagai cabaran untuk memenuhi keperluan asas masing-masing.
“Tanpa usaha-usaha yang sewajarnya dalam menyokong mereka untuk memperoleh pendapatan yang berlanjutan dan memastikan kelangsungan hidup mereka terjamin dalam ketidaktentuan ekonomi sekarang, golongan ini berisiko terjerumus ke dalam kancah kemiskinan.
“Usaha juga perlu ditumpukan untuk merumus imbuhan dan insentif yang lebih baik untuk mendorong lebih banyak pekerja tempatan untuk mengisi jurang permintaan dan penawaran di pasaran buruh, yang kini diisi oleh pekerja asing.
“Langkah tersebut juga akan mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing yang berkemahiran rendah dan memastikan pewujudan peluang pekerjaan yang berterusan bagi pekerja tempatan,” katanya menerusi kenyataan sempena Sambutan Hari Pekerja 2020 hari ini.
Saravanan berkata, para pekerja akan terus memainkan peranan penting dalam usaha memerangi wabak Covid-19 dan dalam usaha pemulihan ekonomi negara selepas wabak itu dibendung sepenuhnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya memberi sokongan berterusan kepada pekerja berupah harian yang kehilangan pendapatan dalam tempoh PKP yang melalui inisiatif COVIDCAREMY.
Selain daripada memberikan bantuan kecemasan, melalui talian Careline golongan pekerja yang terjejas akibat wabak Covid-19 juga boleh menghubungi pihaknya jika mereka memerlukan sokongan mental dan emosi.
Justeru bagi mereka yang menghadapi masalah tersebut boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 017-7803054 atau 012-2058703 atau menghantar mesej menerusi aplikasi whatsapp. – MalaysiaGazette