PUTRAJAYA – Pakar perubatan dari China meyarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak terlalu bergantung kepada ujian pantas Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lapan pakar itu memberitahu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan Malaysia membuahkan hasil dengan jumlah kes yang masing terkawal sehingga kini.

“Secara polisinya kita belajar daripada mereka kerana mereka dua bulan di hadapan kita. Kedua, kita lihat kepada isu-isu teknikal contohnya makmal.

“Kita sedang melihat kepada sistem saringan dan mereka kata jangan bergantung sangat kepada ujian pantas Covid-19.

“Piawaian terbaik kita adalah menggunakan Reverse transcription polymerase chain reaction (RT-PCR) dan banyak teknologi yang telah kita lihat dan bincang dengan mereka,” katanya pada sidang media di KKM hari ini.

Noor Hisham berkata, sepanjang berada di negara ini, kesemua mereka telah mengadakan 13 lawatan ke hospital yang merawat pesakit Covid-19.

“Kita telah lihat polisi dan pelan perancangan adalah selari dengan apa yang mereka lakukan. Mereka berpuas hati dengan kita, Malaysia adalah antara negara yang pertama dan pantas dalam melaksanakan PKP.

“Kata mereka PKP berjalan lancar buat kita dan hari ini boleh lihat kesan daripada PKP,” ujarnya.

Noor Hisham berkata, kesemua pakar itu telah meninggalkan negara ini setelah dua minggu berkongsi pengalaman tentang penularan Covid-19.

Kesemua mereka tiba di Kuala Lumpur pada 18 April lalu bagi membantu Malaysia memerangi pandemik Covid-19.

Untuk rekod, kehadiran pakar dari China itu terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang seperti pernafasan, rawatan rapi, psikiatri, penyakit berjangkit, analisis data, virologi dan perubatan tradisional Cina.

Kemasukan mereka ke Malaysia adalah usaha yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China. – MalaysiaGazette