Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang merupakan pendekatan ketiga sebagai langkah membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan, kecuali beberapa aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak Covid-19.

Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) juga akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi.

“Saya tahu setelah hampir dua bulan menjalani PKP, ramai dalam
kalangan saudara-saudari yang ingin kembali bekerja.

“Bagi peniaga, nak membuka semula perniagaan. Bagi pengusaha industri, nak pastikan perusahaan masing-masing dapat beroperasi semula,” katanya menerusi perutusan khas hari ini.

Muhyiddin berkata, langkah itu penting kerana jika terlalu lama berada dalam PKP akan terputuslah mata pencarian dan ini akan memberi kesan buruk kepada kedudukan kewangan masing-masing.

Begitu juga bagi negara jika terhenti aktiviti ekonomi bermakna terhentilah sumber pendapatan negara, katanya.

“Cukai tidak boleh dikutip, industri tidak boleh berkembang, pertumbuhan ekonomi terencat dan yang paling ingin kita elakkan ialah lebih banyak perniagaan terpaksa ditutup dan
ramai pekerja kehilangan pekerjaan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast