Rosnah Abdul Walad, 55, menjaga anaknya, Nabil Najmi Zainal Abidin, 24, yang mengidap Cerebral Palsy (CP) sejak bayi di rumahnya PPR Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Jika ada anugerah khas buat wanita ini, dia paling layak untuk menerimanya.

Ini kerana pengorbanan dan ketabahannya menjaga suami yang lumpuh sejak 12 tahun dan anak bongsu yang mengidap Cerebral Palsy (CP) sejak lahir 24 tahun menuntut kesabaran luar biasa.

Menurut Rosnah Abd Walad, 55, air matanya sudah kering untuk ditangisi dan ibu kepada tiga anak itu berkata, amalan istighfar menjadi pegangan hidup agar tidak lagi larut dengan rasa kecewa dengan ujian Allah.

Malah tidak lekang doa yang dititipnya setiap kali selepas solat agar diberi kesihatan untuk terus kuat, dilimpah rezeki serta jangan ditambah beban yang sedia ada.

Suri rumah, Rosnah Abdul Walad, 55, dilihat mengangkat anaknya, Nabil Najmi Zainal Abidin, 24, yang mengidap Cerebral Palsy (CP) sejak bayi di rumahnya PPR Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 APRIL 2020.

“Paling saya takut kalau boleh jangan saya yang pergi dulu tapi saya juga tidak boleh terima jika mereka pergi dulu. Namun semua itu terpaksa tempuh satu hari nanti juga,” katanya pasrah.

Rosnah ditemui ketika Program Ziarah Ramadan MalaysiaGazette di kediamannya di PPR Pinggiran Bukit Jalil di sini semalam.

Ketika ini, dia menguruskan suami, Zainal Abidin Mohd. Said, 56, dan Nabil Najmil, 24, yang hanya terlantar di rumah yang disewa mereka dengan bayaran RM124 sebulan.

Suri rumah, Rosnah Abdul Walad, 55, tidak dapat menahan sebak semasa ditemubual mengenai anaknya, Nabil Najmi Zainal Abidin, 24, yang mengidap Cerebral Palsy (CP) sejak bayi di rumahnya PPR Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 APRIL 2020.

Anak sulungnya yang berusia 31 sudah berkahwin dan tinggal di rumah sendiri manakala anak kedua menetap bersama namun tidak dapat bekerja sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut membantu untuk urusan pergi ke hospital bagi rawatan bapa dan adik mereka.

Diminta berkongsi ketabahan luar biasanya itu yang sanggup memapah suami dan mengangkat Nabil untuk ke mana-mana, Rosnah mengakui sesekali dia tewas jua apabila duduk bersendirian dan ketika dia sendiri berdepan masalah kesihatan.

“Bila saya tidak sihat, kadang-kadang saya tercakap sendiri kenapa tuhan uji aku macam ini. Tetapi saya cepat sedapkan hati dan berkata tuhan sayangkan aku.

“Sebab itu saya diberi semua ujian ini. Malah ustaz-ustaz selalu nasihat saya jangan cakap begitu. Lepas itu saya banyak istighfar dan selalu berdoa agar saya diberikan kesihatan baik dan ketabahan kuat,” katanya menahan sebak.

Rosnah Abdul Walad, 55, menjaga anaknya, Nabil Najmi Zainal Abidin, 24, yang mengidap Celebral Palsy (CP) sejak bayi di rumahnya PPR Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 APRIL 2020.

Rosnah turut berkongsi perasaan hatinya apabila berasa kecewa yang amat mendalam dan hampir mengalah apabila berada dalam keadaan tidak sihat.

Namun ketika itu dia nekad dalam diri untuk bangun menjaga suami dan anaknya itu walau apa pun terjadi.

“Pernah saya merangkak hendak berjalan sambil cakap dalam hati, aku kena kuat dan kalau bukan aku siapa yang nak uruskan mereka.

“Sebelum ini, empat kali saya masuk hospital namun bila balik rumah dan depan suami dan anak, saya kena tunjuk kuat,” katanya yang menghidap lelah dan degupan jantung laju sekiranya tidak cukup rehat dan berada dalam tekanan.

Suri rumah, Rosnah Abdul Walad, 55, dilihat membawa keluar anaknya, Nabil Najmi Zainal Abidin, 24, yang mengidap Cerebral Palsy (CP) sejak bayi menggunakan kerusi roda di rumahnya PPR Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 APRIL 2020.

Mengenai kelangsungan hidup keluarga mereka selama ini, Rosnah bersyukur kerana suaminya merupakan pesara polis selain mendapat bantuan RM250 sebulan dan bantuan lampin pakai buang daripada Baitulmal selain bantuan OKU terlantar sebanyak RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jelas nenek kepada dua cucu itu, wang pencen bersih yang diterima selepas menolak komitmen lain cukup untuk makan dan minum namun untuk bermewah tidak pernah sama sekali.

“Cuma keadaan terdesak apabila tiba-tiba ada benda penting yang kena beli. Sebelum ini untuk elak komitmen bulanan, saya jual kereta lama suami selepas dia jatuh sakit untuk sambung bayar.

Suri rumah, Rosnah Abdul Walad, 55, tidak dapat menahan sebak semasa menjaga anaknya, Nabil Najmi Zainal Abidin, 24, yang mengidap Cerebral Palsy (CP) sejak bayi di rumahnya PPR Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 APRIL 2020.

“Namun pembeli rupanya hanya bayar dua tiga bulan sahaja dan bank terus cari saya serta wang pencen suami digunakan untuk bayar pembiayaan baharu pula.

“Untuk mencari pendapat sampingan, saya ada buat kerja sambilan mengemas rumah orang dengan bayaran RM50 dan dalam seminggu dapatlah sekali atau dua orang panggil.

“Saya bawa Nabil sekali kemas rumah yang kebanyakan kawan-kawan yang saya sudah kenal,” katanya yang menggunakan kereta anak sulung untuk bergerak ke sana sini.

Suri rumah, Rosnah Abdul Walad, 55, menjaga anaknya, Nabil Najmi Zainal Abidin, 24, yang mengidap Cerebral Palsy (CP) sejak bayi di rumahnya PPR Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 APRIL 2020.

Menutup perbualan kami, Rosnah mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan yang memberi Bantuan Prihatin Nasional ketika PKP yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga mereka.

Sempat diusik soalan persiapan Aidilfitri, dia memberitahu, tiada sambutan yang diraikan keluarganya sejak 12 tahun lalu.

“Sejak suami sakit 12 tahun, hendak meriah menyambut hari raya memang tidak ada. Baju raya pun sama dan ramai juga kawan-kawan yang bagi kain ela tapi saya tidak tempah sebab kena bayar upah jahitan pula.

“Wang yang saya ada akan guna benda yang perlu sahaja dan doktor pernah suruh beli ubat vitamin untuk jantung pun saya tidak beli hingga suami bising,” katanya sayu.

Sementara mereka yang ingin bertanya khabar atau memberi sumbangan kepada Rosnah dan keluarga, boleh menghubungi talian 011-10028921 (Rosnah).

Sumbangan pula boleh disalurkan kepada akaun Bank Simpanan Nasional (Akaun Bersama Rosnah dan Nabil Najmil) – 1011441100002557. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast