Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Risiko penularan wabak Covid-19 secara mendadak di negara ini masih wujud jika orang ramai lalai dalam mengamalkan normal baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kerjasama dan komitmen daripada semua lapisan masyarakat dalam memainkan peranan masing-masing adalah sangat penting bagi memastikan wabak itu berjaya ditewaskan.

“KKM (Kementerian Kesihatan) ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa pandemik Covid-19 ini belum berakhir.

“Secara global, sebanyak 187 negara terkesan dengan jumlah kes positif Covid-19 yang kini mencecah 3,343,777 dengan 238,650 kematian,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Hari ini, jumlah kes baharu positif Covid-19 di negara ini kembali mencatat tiga angka dengan 105 kes selepas 15 hari berturut-turut hanya mencatat dua angka sejak 17 April lepas.

Noor Hisham menegaskan, agar rakyat terus mengamalkan penjarakan sosial yang selamat serta memakai penutup hidung dan mulut terutama di kawasan umum serta kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan serta mengelak sebarang bentuk perhimpunan.

Mengulas mengenai lengkung penularan Covid-19 di negara yang telah berjaya diratakan, Noor Hisham berkata, hospital kini mempunyai lebih banyak kapasiti dalam merawat lebih ramai pesakit Covid-19.

Dengan memberikan contoh, beliau berkata, kadar keseluruhan bagi penggunaan katil di 40 hospital yang dikhususkan untuk merawat Covid-19 dan 26 pusat rawatan Covid-19 berisiko rendah adalah 17 peratus.

“Selain itu, kadar penggunaan bagi katil unit rawatan rapi (ICU) yang dikhususkan untuk pesakit disyaki dan disahkan positif Covid-19 adalah tujuh peratus atau 31 daripada jumlah 422 katil manakala penggunaan alat bantuan pernafasan pula adalah hanya satu peratus atau 12 daripada jumlah 1,059 alat itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast