Mukhriz Mahathir

ALOR SETAR – Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, semalam, ditangguhkan pelaksanaannya di Kedah.

Menteri Besar Mukhriz Mahathir berkata, penangguhan itu sehingga mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (Khas Covid-19) membuat keputusan mengenainya pada Selasa.

“Pendirian ini diambil bagi menjamin Kedah kekal sebagai zon hijau dan rakyat tidak terancam dengan jangkitan virus Covid-19.

“Keselamatan dan kebajikan rakyat tidak akan dikompromi. Buat sementara waktu, terus kekal di rumah dan amalkan penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri akan memperhalusi syarat dan garis panduan PKPB dan kelonggarannya akan diteliti bagi memastikan ia sesuai mengikut keperluan negeri ini.

Kerajaan negeri bertekad untuk mempertahankan status Kedah sebagai zon hijau setelah tiada lagi kes aktif Covid-19 dikesan di semua daerah.

Dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja semalam, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKPB mulai Isnin ini yang menyaksikan sebahagian besar aktiviti ekonomi dibenarkan.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast