PUTRAJAYA – Tindakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) boleh diluaskan ke seluruh negeri bukan sahaja dilaksanakan di kawasan kilang atau premis perniagaan.
Bagaimanapun, pada masa ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi fokus kepada lokaliti atau di kilang serta premis yang mempunyai kes positif Covid-19 sahaja, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
“Sekiranya penularan merebak, dan bukan sahaja kilang tetapi satu kampung, mukim, daerah atau negeri itu kita akan laksanakan PKPD mengikut keperluan,” katanya pada sidang media harian Covid-19, di kementeriannya hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Noor Hisham berkata, empat kawasan masih dikategorikan sebagai zon merah penularan Covid-19 setakat petang ini.
Katanya, kawasan merah berkenaan adalah Batu, Titiwangsa dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur serta Kuching, Sarawak.
Perkembangan terbaharu jumlah zon merah itu menunjukkan penurunan empat daerah, berbanding lapan daerah hingga tengah hari semalam. – MalaysiaGazette