PUTRAJAYA – Orang ramai tidak perlu khuatir mengenai peningkatan kes dalam kalangan kes-kes import atau kes di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana mereka yang dihidapi wabak itu telah diasingkan dan disaring awal-awal lagi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah membantu usaha kerajaan dalam meratakan lengkung di mana pencapaian itu adalah hasil kerjasama daripada pelbagai agensi dan orang ramai.
Beliau berkata, PKP telah membolehkan pelaksanaan aktiviti pendekatan tertumpu untuk mengesan, menyaring, menguji, mengasingkan dan merawat kes-kes Covid-19 di kalangan masyarakat.
“Tren kes-kes positif Covid-19 harian sejak kebelakangan ini menunjukkan peningkatan kes-kes import dan kes-kes yang dikesan dari lokaliti PKPD,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementerainnya hari ini.
Noor Hisham memberitahu, aktiviti penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat setempat pula dapat dikenalpasti melalui aktiviti survelan klinikal (clinical surveillance) jangkitan Covid-19 yang telah lama dijalankan.
Jelasnya, ia dilaksanakan dengan persampelan pesakit Influenza Like Illness (ILI) dari lokasi sentinel seluruh negara dan pesakit Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di semua hospital KKM.
“Sehingga 1 Mei 2020, sebanyak 7,880 saringan Covid-19 dalam aktiviti survelan klinikal telah dijalankan di mana hanya 12 kes dikesan daripada ILI (0.81 peratus) dan 54 kes dikesan daripada SARI (0.84 peratus).
“Selain itu, saringan Covid-19 juga dilaksanakan ke atas semua pesakit sebelum pembedahan kecemasan dan separa kecemasan di hospital KKM sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19 di kalangan petugas kesihatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette