PUTRAJAYA – Sebanyak 32 peratus daripada kes kematian akibat penularan kes Covid-19 membabitkan kumpulan umur antara 61 hingga 70 tahun.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, golongan yang mempunyai penyakit kronik bagi kelas ini didapati lebih berisiko untuk dijangkiti wabak Covid-19 berbanding golongan lain.
“Walaupun kita belum memahami sepenuhnya jangkitan Covid-19, apa yang jelas ialah risiko jangkitan meningkat mengikut usia, dan individu yang mempunyai penyakit kronik atau penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, penyakit buah pinggang dan barah.
“Faktor risiko penyakit NCD (seperti merokok dan obesiti) adalah lebih berisiko untuk mendapat gejala jangkitan Covid-19 yang lebih teruk dan risiko kematian yang lebih tinggi,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 19 peratus kematian adalah dalam kumpulan umur membabitkan pesakit yang berusia antara 71 hingga 80 tahun.
Dua kematian hari ini membabitkan golongan itu.
Dapatan itu tambah beliau, adalah berdasarkan maklumat yang diperolehi melalui kajian kematian (mortality review) terhadap 99 daripada 105 kes kematian yang dilaporkan di Malaysia. -MalaysiaGazette