Marhaba….Ramadan pastinya menjadi bulan yang paling kita tunggu. Walau sekarang ini kita berpuasa dalam suasana PKP namun kemeriahan bulan penuh baraqah ini sentiasa terasa.
Alhamdulillah perkongsian coretan Che Pah minggu lalu mendapat banyak respon dari pembaca.
Syukur juga kerana dari nukilan itu, Che Pah dapat bertemu kembali dengan keturunan Pak Cik Mahmood yang merupakan tuan punya kedai runcit di kampung Che Pah yang Che Pah ceritakan hari itu.
Hari ini Che Pah hendak mengimbau pula kisah Ramadan dan solat terawih. Istimewanya bulan penuh kemuliaan ini ialah kerana kita dihadiahkan Ilahi dengan solat terawih.
Bulan lain tiada. Hanya dalam Ramadan. Begitulah sangat istimewanya bulan ini.
.
Bila bertemu Ramadan bermakna Che Pah dapat lampu hijau untuk keluar rumah di waktu malam. Bulan lain sorry ya. Memang tak merasa.
Walid dan Umi sangat tegas bab ini. Malah kebanyakan famili berketurunan Arab juga sangat mengambil berat akan hal yang satu ini.
Anak-anak tidak akan sama sekali dilepas bebas tanpa had. Tidak kira lelaki atau perempuan. Undang undangnya sama sahaja. Tiada perlepasan untuk keluar malam.
Tetapi dalam bulan Ramadan Che Pah diizin keluar malam. Itu pun bukan untuk melepak tidak tentu arah dengan kawan kawan. Ia khusus hanya untuk pergi solat terawih sahaja.
Syaratnya sebelum jam 10 malam Che Pah wajib pulang jika Che Pah solat terawih dengan kawan kawan. Ini kerana solat terawih di Masjid Sultan Ibrahim Muar akan selesai jam 9.30 malam.
Jadi tiada alasan untuk balik lebih dari jam 10 malam. Jika tersasar lebih dari 10 malam, pasti ada “polis” tunggu di depan pintu rumah.
Siapkan saja jawapan ya. Che Pah pun mulalah merangka apa jawapan paling kukuh untuk dijawab. Tapi selalunya jawapan Che Pah tak di terima pakai.
Maklum, kita masih budak budak masa itu. Kalau sudah bertemu kawan kawan maka lupa dunia jawapnya.
Che Pah ini ada nakal sikit. Abang Che Pah bagus. Dia baik. Abang paling akur dengan Walid Che Pah ada ketegaq sikit bak kata orang Utara.
Kebiasaannya dalam bulan Ramadan Walid punya rutin tersendiri. Walid akan membawa Abang dan Che Pah ke rumah datuk saudara iaitu Habib Abdul Qadir Al Habshi untuk solat terawih berjemaah.
Walid didik kami untuk ingat kepada orang tua. Walid ajar kami agar selalu hormat orang tua dan sering bertemu untuk mengambil baraqah.
Itu didikan kami dalam famili Arab. Kami dididik untuk hormat dan pentingkan orang tua. Baraqah dalam hidup sangat diutamakan.
Jadi setiap kali usai berbuka dan bersolat Maghrib, Walid akan bersiap siap. Melihatkan Walid sudah mula bersiap, Che Pah dan Abang pun bergegas bersiap. Takut Walid marah.
Walid akan pakai baju kurung Teluk Belanga berkain gombang. Kadang kadang Walid bersongkok. Sering kali cuma berkufiah putih.
Che Pah dan Abang pun turut mengenakan baju kurung Teluk Belanga. Siap berkain pelikat dan bersongkok.
Walid paling marah jika kami berjumpa dengan orang tua serta solat dengan tidak bersongkok Walid kata kurang adab.
Biasanya kami bertiga beranak akan memulakan perjalanan lebih kurang jam 8 malam. Berderet kami mengayuh basikal. Didahului Walid, kemudian Abang dan terakhir sekali Che Pah.
Che Pah dan Abang sama sekali tidak akan mengayuh basikal di depan Walid atau memintas Walid. Walid didik kami adab.
Usah mendahului orang tua sama ada sedang mengayuh basikal atau berjalan kaki. Jika ingin memintas, pastikan kita ucapkan salam serta minta izin terlebih dahulu. Itu pesan Walid. Che Pah pegang sampai sekarang.
Ini didikan Walid kepada kami. Adab sangat dititik beratkan. Dek kerana keutamaan adab yang dipasak ke dalam diri kami inilah yang juga membuatkan Abang sehingga kini tidak pernah menghisap rokok di hadapan orang tua.
Depan Walid jauh sekali. Abang sanggup masuk tandas atau sekadar merokok di belakang rumah. Walid tahu Abang merokok. Akan tetapi Abang tidak akan pernah merokok di depan Walid.
Rumah Habib Abdul Qadir tak berapa jauh dari rumah Che Pah. Sekadar kurang lebih 10 minit jika mengayuh basikal.
Habib Abdul Qadir sebenarnya adik kepada Emak atau nenek Che Pah. Habib Abdul Qadir tinggal bersama salah seorang anak lelakinya bernama Syed Isa Al Habshi yang juga bapa saudara Che Pah. Che Pah panggil Ami Isa. Makanya Ami Isa ialah sepupu dengan Walid.
Sesampai di rumah Habib Abdul Qadir, usai mengucap salam kami akan masuk ke rumah dan terus bertemu dengan Habib Abdul Qadir.
Adabnya ialah, kami akan cium tangan beliau dan kemudian duduk bersila menunggu waktu solat. Tak berani angkat muka.
Kami sangat takut dengan Habib Abdul Qadir. Budak budak dulu sangat takut dan hormat dengan orang tua. Jangan kata nak berborak, nak angkat muka pun gigil lutut.
Che Pah suka solat terawih di rumah Habib Abdul Qadir. Ada dua sebab mengapa. Pertama, Habib Abdul Qadir cepat bacaannya. Solat terawih juga pantas. Dua puluh tiga raakat itu berlalu pantas.
Habib Abdul Qadir sudah agak berumur namun masih kuat kala bersolat. Tak perlu berkerusi. Masih boleh sujud seperti biasa malah lebih pantas dari orang muda.
Keduanya pula kerana lepas solat terawih ada pelbagai hidangan Ini part paling Che Pah suka. Macam macam kuih dapat rasa. Budak budak kan. Selera makan tengah sedap.
Biasanya kuih di rumah Habib Abdul Qadir dibuat sendiri oleh anak perempuan beliau iaitu Sharifah Ragwan atau menantu yang juga isteri kepada Ami bernama Sharifah Faridah.
Sharifah Ragwan atau mesra Che Pah panggil Umi Wan adalah juga ibu saudara Che Pah. Umi Wan juga merupakan guru mengaji kami bertiga beradik.
Umi Wan sangat garang. Tapi dia baik hati. Bila cikgu mengaji garang makna anak murid cepat dapat. Tidaklah benak sangat hati bak kata orang Muar..
Kebiasannya selepas usai solat Witir, Habib Abdul Qadir akan teruskan dengan bacaan qasidah. Ada beberapa bacaan qasidah yang dibaca.
Antaranya qasidah Ya ArRahman Rahimin dan Ya Rabbibil Musthafa.. Secara tidak langsung Habib Abdul Qadir ajar Che Pah dan Abang dengan qasidah.
.
Dek sering kali dibaca, alunan qasidah ini sudah mendarah daging dalam diri kami. Didikan Habib Abdul Qadir inilah yang Abang teruskan ke dalam. keluarga kami dalam bulan Ramadan.
Selain dari ke rumah Habib Abdul Qadir, kadang kala kami dibawa juga ke rumah seorang lagi datuk saudara iaitu Habib Jaafar Al Habshi di Jalan Sulaiman, Muar.
Habib Jaafar adalah sepupu kepada nenek Che Pah. Maka Habib Jaafar ialah datuk saudara sepupu kepada Che Pah.
Habib Jaafar punya sifat sedikit berbeza dengan Habib Abdul Qadir. Habib Jaafar lebih lembut. Tak segarang Habib Abdul Qadir.
Namun sifat mereka bukan menjadi hal untuk dibicarakan. Bagi Che Pah didikan mereka sebagai orang tua kepada kami yang masih kanak kanak diwaktu itu yang diambil kira.
Walid didik kami adik beradik agar selalu hormat orang tua. Usah berjalan mendahului orang tua. Bercakap hanya apabila ditanya. Cium tangan kala berjumpa walau dimana saja.
Saya pernah terlihat Walid sanggup berhenti dari mengayuh basikal kala Walid terpandang Habib Abdul Qadir sedang berjalan di bandar Muar.
Walid berhenti. Walid rapati ayah saudaranya dan cium tangan. Selepas itu Walid mohon izin untuk teruskan perjalanan.
Begitu adab Walid. Walid kata walau setinggi mana jua pelajaran yang kita ada mahupun sebesar mana pangkat kita namun jika ia tidak disulami dengan adab dan kerendahan hati terhadap orang tua terutamanya, semua itu tidak bermakna.
Nenek Che Pah juga turut mengajar adab yang sama. Dulu kami budak budak tak berani duduk mendongak orang tua bercakap.
Kalau Che Pah buat juga, maka siaplah. Emak akan jegilkan mata. Kadang kadang kita buat buat tak faham. Lepas orang balik, biru paha dicubit Emak.
Begitulah sedikit pengalaman terawih Che Pah bersama Walid dan Abang. Pengalaman sangat manis dan bermakna.
Pengalaman inilah yang membawa kepada amalan kami kini. Apa yang dididik oleh Walid dan Habib Abdul Qadir ini yang kami teruskan sekarang. – MalaysiaGazette