Petugas KKM membuat saringan kesihatan ke atas peniaga dan pekerja ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari ke-43 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 29 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Dua zon kuning memasuki zon merah semula apabila kenaikan kes mendadak positif Covid-19 dikesan di daerah itu.

Menurut data yang dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kes positif Covid-19 di daerah Gombak naik sehingga 77 kes dengan kenaikan 37 kes pada Sabtu.

Petaling juga menunjukkan kenaikan 5 kes positif Covid-19 kepada 48 kes.

Jumaat lalu, kedua-dua daerah itu berada di zon kuning dengan 40 kes di Gombak dan 38 kes di Petaling.

Sementara itu, satu lagi zon merah di Selangor iaitu daerah Hulu Langat menurun satu kes kepada 49 kes aktif kebolehjangkitan Covid-19.

Zon lain adalah Lembah Pantai dengan 263 kes aktif, diikuti dengan Kuching, 143 kes.

Tiga daerah masih kekal dengan statistik pada Jumaat iaitu Kepong dengan 84 kes; daerah Kluang, 70 kes aktif; dan Johor Bahru, 46 kes.

Sementara itu dua daerah mencatatkan penurunan kes iaitu di Kota Samarahan, Sarawak 47 kes dan Hulu Langat, Selangor dengan 49 kes.

Bagaimanapun di Titiwangsa, kes aktif meningkat 8 kes kepada 82 kes.

Zon hijau pula menghadapi pengurangan dengan empat daripadanya memasuki zon kuning, semalam.

Antaranya, Port Dickson, Negeri Sembilan yang mendapat satu kes positif Covid-19 berbanding sifar kes pada Jumaat.

Negeri Pahang mencatatkan dua zon kuning yang baharu iaitu daerah Raub apabila terdapat satu kes positif Covid-19 direkodkan di kawasan itu semalam.

Daerah Temerloh pula mencatatkan 7 kes positif Covid-19 yang baharu sementara Semporna turut menerima nasib sama dengan satu kes positif Covid-19 di daerah itu.

Dalam pada itu, empat negeri iaitu Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak masih mengekalkan zon hijau masing-masing sehingga semalam.

Sementara itu, Pulau Pinang masih terdapat dua kes aktif Covid-19 iaitu masing-masing satu kes di Sebarang Perai Tengah dan Barat Daya. – MalaysiaGazette