Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang memberikan kelonggaran kepada beberapa sektor bukan bererti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah ditamatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham berkata, tanggapan itu adalah satu persepsi yang salah dan PKP adalah satu medium penting dalam memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dibendung.

“Kita tidak tamatkan PKP, ada persepsi kita telah tamatkan PKP misalnya esok raya kita tidak ada PKP, itu adalah persepsi yang salah.

“PKP masih ada dan kita hanya bagi kelonggaran iaitu menggunapakai kriteria WHO untuk tamatkan PKP. Dan kita lihat ada enam kriteria tersebut,” katanya dalam sidang media perkembangan terbaharu Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.

Kata Noor Hisham, pelaksanaan PKP jelas membuktikan bahawa lengkuk positif Covid-19 berjaya dilandaskan dan dikawal penyalurannya.

“Kalau kita boleh patuh kepada SOP dan PKP, bererti kita berjaya kurangkan. Lihat PKP 1 hingga 3 kita sudah landaikan lengkuk Covid-19.

“Jumlah kes dijangkakan adalah 8,900 tapi sekarang kita kami dalam lingkungan 6,000 lebih sahaja. Jadi apa yang penting adalah kita perlu perangi wabak ini dengan kerjasama sepadu kerajaan dan rakyat Malaysia.

“Samada kita gunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) atau kita tidak mahu patuh pastikan kita duduk di rumah,” katanya.

Dalam pada itu, wabak Covid-19 boleh bertahan di dalam masyarakat selama setahun hingga dua tahun sekiranya masih tiada vaksin bagi membunuh wabak berkenaan.

Noor Hisham berkata, hanya dua perkara yang boleh menurunkan penularan Covid-19 iaitu pelaksanaan PKP dan patuh SOP yang telah ditetapkan.

“Selagi tidak ada vaksin, selagi tidak ada ubat berkesan untuk rawatan Covid-19 maka virus akan berada dalam komuniti kita untuk jangka masa yang panjang sekurang-kurangnya setahun atau dua.

“Jadi kita melihat bagaimana kita hendak guna dua kaedah iaitu PKP dan patuh SOP untuk kita kawal penularan Covid-19 dalam masyarakat kita,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembukaan semula sektor ekonomi dengan melaksanakan PKPB bermula esok.

Namun, sebarang aktiviti melibatkan perhimpunan besar tidak dibenarkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast