Gambar Hiasan

KUALA NERUS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merampas sebanyak 106 tong gas petroleum cecairĀ  (LPG) bernilai lebih RM20,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Gong Badak pagi tadi.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, serbuan dilakukan pada 10.30 pagi oleh sepasukan anggota penguatkuasa KPDNHEP selepas mendapati suspek, seorang lelaki berusia 43 tahun telah menjalankan penjualan tong gas berisi LPG tanpa lesen.

“Serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam dan risikan oleh anggota KPDNHEP seminggu lalu.

“Selain 106 tong LPG berisipadu 14 kilogram, kita turut menyita sebuah lori muatan 1.5 tan yang ditemui di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Saharuddin berkata, kes itu akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, beliau turut meminta supaya orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penjualan tong gas berisi LPG tanpa lesen supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa kerana ia melibatkan keselamatan orang awam. – Bernama