KUALA LUMPUR – Perancangan Malaysian Football League (MFL) untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia pada September ini dianggap sinar baharu kepada pasukan-pasukan yang bertanding.
Mereka menyifatkan perancangan yang disusun oleh badan induk itu dalam usaha meneruskan semula Liga Malaysia sejak ditangguhkan pada 16 Mac lalu akibat wabak Covid-19 sedikit sebanyak menjawab persoalan mengenai status saingan domestik musim ini.
Antara yang menyambut baik perancangan MFL itu adalah
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar yang berharap momentum bola sepak tanah air dapat diteruskan.
“Ini adalah idea yang bagus di mana MFL merancang untuk memulakan semula saingan Liga Malaysia pada September depan. Memang kalau boleh kita mahu bermain lebih awal tapi kita memahami situasi semasa di mana kita juga akur dengan keputusan kerajaan berhubung isu Covid-19.
“Apa yang penting sekurangnya-kurangnya liga kita masih dapat diteruskan dan kebajikan pemain, pegawai dan kakitangan pasukan tidak akan hilang sumber pendapatan,” katanya.
Minggu lalu, MFL mengumumkan perancangan baharu kalendar Liga Malaysia 2020 selepas permohonan mereka untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia pada Ogos 2020 dengan sesi latihan pasukan bermula pada Julai 2020 tidak diluluskan menerusi Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Susulan daripada itu, MFL mengeluarkan perancangan baharu dengan menetapkan pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier akan bermula pada 1-2 September ini dan akan berakhir pada 26-27 September ini dengan saingan secara separuh liga sahaja manakala TM Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17-18 Oktober ini hingga 7 November sementara Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan.
Format pertandingan TM Piala Malaysia akan dirombak di mana tiada saingan peringkat kumpulan dengan saingan 16 pasukan akan berlangsung secara kalah mati satu pusingan termasuk suku akhir dan separuh akhir.
11 pasukan terbaik CIMB Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Premier (kecuali pasukan Reserve Team) yang layak beraksi dalam saingan TM Piala Malaysia akan diundi untuk menentukan perlawanan awal dan juga pasukan tuan rumah.
Bagaimanapun perancangan ini masih tertakluk kepada keputusan semasa kerajaan apabila MFL akan membuat permohonan semula pada Jun ini.
Namun bagi Shahril, tiada isu yang sepatutnya dibangkitkan meskipun semua perlawanan terpaksa diadakan tanpa penyokong seperti yang disarankan oleh kerajaan.
“Kita sedar, kita tidak mempunyai banyak masa untuk mengadakan semua perlawanan jadi ada pertandingan yang kita terpaksa korbankan. Saya setuju apabila MFL memilih TM Piala Malaysia berbanding Shopee Piala FA kerana prestijnya. Kalau tak ada TM Piala Malaysia rasa macam tak lengkap. Malah keputusan untuk memberikan slot ke Piala AFC kepada juara TM Piala Malaysia juga adalah sesuatu yang baik.
“Memang kalau tidak ada penyokong akan hilang seri liga kita tapi kita kena lihat persepektif lebih besar di mana kita tidak boleh ambil ringan isu Covid-19 ini, ini sesuatu yang kita tak boleh elak. Saya setuju dengan SOP Perlawanan Tanpa Penyokong asalkan liga kita tidak dibatalkan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil turut senada menyokong apa juga keputusan MFL sambil menyifatkan semua negara ketika ini terkesan dengan pandemik yang telah berlaku.
Justeru, beliau juga percaya apa yang akan diputuskan nanti adalah demi kebaikan untuk semua rakyat Malaysia kerana walaupun hakikatnya pasukan ingin kembali beraksi, tetapi kesihatan tetap menjadi keutamaan hakiki.
“Kami menerima segala keputusan nanti dan sudah pasti kita perlu berlapang dada dalam keadaan ini kerana semua negara terkesan dengan kerugian dan kehilangan kemeriahan yang akan berlaku.
“Kita sudah pasti mengharapkan perancangan daripada MFL ini mendapat kelulusan tetapi harapan tinggi juga untuk melihat agar pandemik Covid-19 ini segera pulih,” katanya.
Jika perancangan itu mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MFL berharap sesi latihan pasukan dapat bermula pada Ogos sebelum pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier dan TM Piala Malaysia diteruskan bermula September.
Tetapi seandainya permohonan tersebut tidak mendapat kelulusan sehingga September, maka saingan Liga Malaysia 2020 akan dibatalkan. – MalaysiaGazette