Gambar hiasan

KERAJAAN boleh memberi pertimbangan mewujudkan
sebuah akta khusus bagi memastikan pematuhan
sepenuhnya saranan penjarakan sosial dikalangan orang
ramai dalam negara kita bagi membendung penularan Novel
Koronavirus (Covid-19). Kerajaan tidak boleh hanya
mengharapkan orang ramai untuk melakukan penjarakan
dengan sendiri tanpa adanya sokongan daripada sebarang
bentuk undang–undang yang jelas terhadap saranan
penjarakan sosial ini kerana kemungkinan terdapat
sesetengah pihak yang ingkar serta keliru terhadap saranan
yang telah dibuat. Kewujudan peruntukan undang-undang
khusus terhadap perkara ini boleh dikuatkuasakan buat
sementara waktu sehingga vaksin bagi mengubati Covid-
19 ditemui kelak. Ini susulan pengumuman pihak kerajaan
bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat
(PKPB) bermula 4 Mei yang memperlihatkan beberapa
sektor ekonomi dan perkerjaan mula beroperasi. Walaupun
kelonggaran diberikan untuk beberapa sektor ekonomi dan
pekerjaan dalam negara kita untuk beroperasi, mereka akan
tertakluk kepada beberapa syarat ketat bagi mengelakkan
penularan virus Covid-19 secara berleluasa dalam negara
kita.

Kerajaan juga menyarankan orang ramai untuk sentiasa berdisiplin dan mengamalkan proses penjarakan sosial bagi mengelakkan penularan Covid-19 dalam negara kita. Kita harus ketahui, ancaman wabak Covid-19 belum lagi berakhir. Lebih tiga juta orang telah dijangkiti dengan virus berkenaan serta lebih dua ratus ribu orang yang maut akibat daripada jangkitan dengan virus terbabit yang dilaporkan di serata dunia sehingga kini. Covid-19 adalah sejenis virus baru yang bahaya terhadap kesihatan manusia. Tiada vaksin khusus yang boleh digunakan bagi mengubati mereka yang telah dijangkiti dengan virus terbabit sehingga kini.

Golongan warga emas, individu yang memiliki rekod sejarah penyakit kronik serta individu yang mempunyai tahap ketahanan ataupun imuniti dalam badan yang lemah lebih berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan yang teruk apabila terkena dengan virus Covid-19 ini. Oleh yang demikian, adalah penting semua pihak memandang ancaman virus Covid-19 ini dengan serius serta mengambil segala tindakan yang perlu bagi membendung penularannya dalam negara kita.

Memandangkan pihak kerajaan sudah mengambil keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan membenarkan beberapa sektor perniagaan dan pekerjaan untuk mula beroperasi, pihak kerajaan perlu juga mengambil langkah drastik memastikan orang ramai mengambil langkah yang sewajarnya bagi melindungi diri mereka daripada terkena dengan jangkitan virus Covid-19 dan menyebarkannya
virus Covid-19 berkenaan kepada orang sekeliling. Saranan yang diberikan oleh pihak kerajaan khususnya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk orang ramai dalam negara kita melakukan penjarakan sosial adalah dialu–alukan, namun ia dibimbangi tidak membawa kesan selagi ianya tidak disertai atau disandar dengan kuasa undang–undang. Walaupun terdapat beberapa peruntukkan undang–undang yang boleh digunapakai seperti Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], Kanun Keseksaan [Akta 574], dan lain – lain lagi, namun ia dilihat tidak mencukupi untuk memastikan orang ramai dalam negara kita mematuhi saranan penjarakan ini.

Muzaffar Syah Mallow

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia