Sebahagian daripada cecair perisa vape disyaki dadahyang dijual di laman sesawang e- dagang yang berjaya dirampas polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Aktiviti pengedaran dan penjualan cecair perisa vape disyaki mengandungi ganja dan ketamin menggunakan tiga laman sesawang e-dagang popular berjaya ditumpaskan polis.

Dalam operasi Ops Slayer pada 29 dan 30 April lalu, sepasukan 14 pegawai dan 55 anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menangkap 17 orang individu yang aktif memperdagangkan produk terlarang itu sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 56 tahun telah direman dan sudah disiasat di bawah Seksyen12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga Seksyen 6 di bawah akta yang sama.

Katanya, seramai 14 daripadanya sudah dituduh di mahkamah manakala selebihnya masih disiasat dan ada yang sudah menjadi saksi polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ramli Din menunjukkan penjualan cecair disyaki dadah di laman sesawang E- Dagang yang berjaya ditumpaskan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2020.

“Tren mempromosi dan menjual dadah dalam bentuk cecair bukan baharu untuk kita yang mana pernah berlaku pada tahun 2015 bagaimanapun berjaya dikuburkan tetapi sepanjang PKP ia mula berleluasa menggunakan tren baharu.

“Modus operandi aktiviti ini adalah mempromosi dan menjual dalam tiga sesawang e-dagang popular dan setiap botol bersukatan 30 mililiter itu dijual dengan harga RM200 hingga RM300.

“Dalam tangkapan itu, polis berjaya merampas sebanyak 215 botol cecair disyaki berasaskan ganja dan ketamin dan hasil risikan dan kerja keras pasukan kami berjaya membuahkan hasil menumpaskan kesemua 17 individu yang terlibat secara berani dalam penjualan dadah.

“Dalam kalangan suspek yang terdiri daripada warga tempatan, seorang wanita pemastautin tetap dan seorang warga asing berstatus pelajat Institut Pengajian Tinggi yang mana kebanyakannya penganggur, pelajar, pekerja bank, peniaga dan penghantar barang,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Ramli, lima daripada kesemua suspek mempunyai lima rekod lampau iaitu dua orang berkaitan dadah, dua orang lagi berkaitan jenayah dan seorang lagi mempunyai rekod dadah dan jenayah.

Justeru katanya, dua suspek juga positif ganja dan nilai rampasan barang keseluruhannya melibatkan RM58,000.

Aktiviti itu juga menggunakan kaedah pembayaran secara tunai atau bayar ketika penghantaran, bayaran dalam talian dan kaedah bayaran ketiga adalah berjumpa secara bersemuka.

Malah katanya, kesemua produk itu sebenarnya diimport dari beberapa negara luar.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, ketiga-tiga laman sesawang popular berkenaan telah diambil tindakan atas kesalahan menyediakan platform dan menjadi perantara antara penjual dan pembeli terhadap produk itu sehingga membiarkan ia dipromosi.

“Ketiga-tiga laman sesawang e-dagang itu telah diambil tindakan yang mana siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505b Kanun Keseksaan yang mengatakan barang sesiapa membuat penerbitan atau mengeluarkan kenyataan atau khabar angin sebagai mendorong seseorang melakukan kesalahan terhadap negara aau ketenteraman awam.

“Jika disabitkan kesalahan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan turut dituduh di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang turut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 1 tahun atau kedua-duanya sekali selain boleh didenda RM1,000 sehari kesalahan jika diteruskan selepas disabitkan,” tegasnya lagi.

Berkenaan siasatan kes vape, katanya , laporan lengkap siasatan penyeluruh kes tersebut akan disiapkan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan sejawarnya.

Dalam satu lagi perkembangan mengenai parti liar sepanjang PKP, beliau memaklumkan JSJN Bukit Aman telah melaksanakan 37 serbuan tangkapan dilaksanakan dan 16 serbuan sepanjang PKP fasa ketiga.

Hasilya kata beliau, seramai 346 orang ditangkap yang mana kesemuanya berusia antara 14 hingga 40 tahun.

“Dalam tempoh PKP berkenaan juga polis telah cuba menyempurnakan waran tangkap yang ada dalam kes narkotik apabila seramai 132 orang suspek dikehendaki dalam kes berjaya dicekup dalam sekatan jalan raya,” tegasnya.-MalaysiaGazette