KOTA KINABALU – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) hari ini menjelaskan tidak mampu menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas semua pekerja asing yang berada di negeri ini jika ia menjadi prasyarat bagi membolehkan sektor ekonomi beroperasi semula.
Pengarahnya, Datuk Dr Christina Rundi berkata, hospital kerajaan di Sabah akan berdepan banyak permintaan sekiranya pekerja asing dalam sektor ekonomi diwajibkan menjalani saringan pemeriksaan COVID-19 sebelum operasi sektor berkenaan dibuka semula.
“Secara berperingkat, kita mampu melakukannya (saringan pemeriksaan COVID-19 ke atas pekerja asing), tetapi jika ia dijadikan sebagai prasyarat untuk (sektor ekonomi) dibuka semula, maka itu akan menjadi masalah.
“Kami (JKNS) tidak dapat menampung keperluan ini sekiranya ia dilakukan di hospital-hospital (kerajaan) kerana kami juga mempunyai pelanggan kami sendiri,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas keperluan mewajibkan pekerja asing menjalani saringan kesihatan COVID-19 di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mewajibkan pekerja warga asing di semua sektor termasuk pembinaan, perkilangan dan komersial menjalani saringan kesihatan COVID-19 (ujian calitan) bagi membendung penularan wabak itu.
Sementara itu, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung seperti dilaporkan sebuah portal berita semalam, berkata Sabah tidak mampu melakukan ujian itu terhadap 100,000 pekerja asing di negeri ini berikutan bekalan ‘reagen’ atau bahan uji kaji mengesan COVID-19 yang tidak mencukupi.
Dalam pada itu, Dr Christina berkata, JKNS sedang memudah cara beberapa majikan yang ingin membuka semula operasi perniagaan selain memberi nasihat supaya setiap daripada mereka mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan memandangkan pandemik COVID-19 masih belum berakhir.
“Semua mesti faham keadaan ini. Ia tidak hanya sekadar kembali bekerja seperti biasa, tetapi majikan mesti memastikan ada saringan pemeriksaan dilakukan, mengamalkan penjarakan sosial, menggunakan penutup mulut dan hidung serta cecair pembasmi kuman,” katanya. – Bernama
















