GEORGE TOWN – Jambatan Pulau Pinang kini menjadi salah satu lokasi dalam rangkaian lebuh raya kendalian PLUS yang menyokong pembayaran tol menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) menerusi sistem JustGO.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, pengguna yang mendaftarkan kenderaan menerusi aplikasi itu tidak perlu memilih lorong berdasarkan kaedah pembayaran tertentu kerana nombor pendaftaran kenderaan akan dikesan secara automatik ketika melalui plaza tol.
Katanya, sistem ANPR akan mengesan nombor pendaftaran kenderaan sebelum transaksi tol diproses secara automatik menggunakan kad pembayaran yang dipautkan dalam aplikasi JustGO.
“Konsep LaneFreedom yang diperkenalkan JustGO turut membolehkan pengguna menggunakan mana-mana lorong tol yang tersedia di Jambatan Pulau Pinang.
“Bagaimanapun, bagi Plaza Tol Bandar Cassia, kemudahan JustGO pada masa ini hanya disediakan di lorong RFID yang ditandakan dengan bulatan merah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Zairil, pengguna yang lahir dan menetap di Pulau Pinang serta mendaftar menerusi sistem JustGO akan menikmati potongan 20 peratus bagi tol Jambatan Pulau Pinang.
“Kita menggalakkan pengguna Jambatan Pulau Pinang memanfaatkan kemudahan baharu itu sebagai alternatif pembayaran tol yang lebih moden, mudah dan efisien, selaras dengan usaha berterusan mempertingkatkan pengalaman mobiliti harian di negeri ini.
“Bagi menggunakan kemudahan itu, pengguna perlu memuat turun aplikasi JustGO melalui Apple Store, Google Play atau Huawei AppGallery sebelum mendaftarkan akaun dan kenderaan masing-masing.
“Pengguna juga perlu memautkan kad pembayaran yang ingin digunakan bagi transaksi tol. Rekod lengkap transaksi termasuk masa dan lokasi perjalanan pula boleh disemak menerusi aplikasi JustGO,” katanya. – MalaysiaGazette
















