Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan atas dakwaan projek RM30 juta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementerian itu akan membantu SPRM dalam melakukan siasatan atas dakwaan beberapa syarikat yang mendapat kontrak secara tidak layak untuk menyediakan kelengkapan makmal berhubung wabak Covid-19.

“KKM akan sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM sekiranya diperlukan,” katanya ketika ditanya media di KKM, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM sedang menyiasat sebuah syarikat yang didakwa secara tidak layak mendapat kontrak membekalkan kelengkapan makmal dianggarkan bernilai RM30 juta.

Syarikat itu didakwa mendapat kontrak membekalkan kelengkapan sistem makmal di bawah KKM.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba semalam berkata, KKM sedia bekerjasama dengan SPRM bagi memastikan kementerian itu bersih dan berintegriti.

Perkara itu dibangkitkan peguam Wee Choo Keong yang meminta KKM bersikap telus berhubung kontrak perolehan yang diberikan kepada sebuah syarikat yang didakwa tidak layak, membabitkan usaha menyekat penularan wabak Covid-19.

Pada 30 April lalu, beliau mendakwa syarikat berkenaan merupakan sebuah syarikat pemaju hartanah, tetapi mendapat kontrak melengkapkan makmal bagi tujuan saringan jangkitan Covid-19, selain kontrak membekalkan peralatan perlindungan peribadi (PPE). – MalaysiaGazette