KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan empat lagi suspek yang disyaki terlibat sebagai dalang atau agen kepada penyeludupan 202 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya di perairan Langkawi pada 4 April lalu.

Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Operasi Maritim Kedah dan Perlis), Kapten (M) Zulinda Ramly berkata, penahanan kesemua suspek itu adalah susulan daripada siasatan terhadap dua tangkapan suspek pada 16 dan 18 April di Simpang Empat dan Guar Cempedak, Kedah.

“Kesemua suspek yang ditahan adalah di bawah “Ops Khas Dallal’ yang telah dilancarkan pada awal April lalu bagi menjejaki rangkaian ahli sindiket yang terlibat dalam urus niaga penyeludupan PATIi etnik Rohingya.

“Tangkapan ke atas keempat-empat suspek telah dilakukan secara berasingan pada 3 Mei 2020 di beberapa lokasi sekitar Kedah iaitu di Kota Sarang Semut, Pendang dan Simpang Empat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada April lalu, seramai 202 PATI etnik Rohingya ditahan di pantai berhampiran sebuah pusat penginapan di Kampung Teluk Nibong, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, kumpulan PATI terdiri 152 lelaki, 45 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan ditahan pada kedudukan 1.2 batu nautika di Barat Daya pantai berkenaan.

Menurut Zulinda, hasil pemeriksaan awal mendapati keemua suspek adalah lelaki warga Myanmar yang berusia antara 24 hingga 53 tahun.

Tambah beliau, kesemua suspek telah mendapat perintah reman mahkamah selama 14 hari untuk disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2017 (Akta 670) dan Akta Imigresen 1959/63.

Ujarnya, Maritim Malaysia masih memburu dua lagi suspek yang dipercayai merupakan dalang utama yang mana mereka disyaki masih berada di utara Semenanjung bagi mengatur kemasukan PATI Rohingya untuk permintaan di Kedah, Pulau Pinang dan Johor.

Zulinda berkata, dalam usaha menjejaki dan memerangi rangkaian sindiket PATI secara habis habisan, orang ramai terutama komuniti maritim diingatkan supaya tidak bersubahat atau melindungi dalang atau penyeludup demi keselamatan rakyat dan kedaulatan negara. – MalaysiaGazette