Arkib: Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff meninggalkan mahkamah selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) di Mahkamah Majistret Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 05 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff masing-masing didenda maksimum RM800 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) 20 April lalu.

Nurul merupakan anak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Majistret Shah Wira Abdul Halim, menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-duanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan serentak oleh jurubahasa mahkamah.

Kedua-duanya mereka didakwa melanggar Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Mereka kemudiannya membayar denda itu.

Tiada sebarang kenyataan direkodkan kedua-dua mereka.

Ketika cuba mendapatkan komen selepas dijatuhi hukuman itu, Nurul hanya menjawab ‘terima kasih semua’ dan melambai kepada para wartawan yang membuat liputan, hari ini.

Mereka berdua meninggalkan mahkamah jam 11.05 pagi.

Mengikut kertas pertuduhan, Nurul dan suaminya didapati bersalah melanggar PKP pada 20 April apabila keluar daripada rumah dan menuju ke Putrajaya.

Kedua-dua mereka didapati melanggar arahan PKP dengan membuat kunjungan ke kawasan yang diwartakan sebagai kawasan berjangkit.

“Bahawa kamu pada 20 April pada jam 9 pagi telah bergerak dari Kajang menuju ke Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya yang merupakan tempat dalam kawasan tempatan jangkitan di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

“Oleh yang demikian, kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11, Peraturan-peraturan yang sama,” demikian menurut kertas pertuduhan.

Mengikut pertuduhan itu, kedua-dua mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya.

Dalam kamar pertuduhan, Timbalan Pendakwa Raya, Nurashikin Mokhtar memohon agar kedua-dua tertuduh didenda maksimum RM1,000 bagaimanapun peguam kedua-dua tertuduh, Datuk Ahmad Zaidi Zainal memberikan alasan bahawa pertemuan itu dijemput oleh Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad.

Pada 20 April lalu, Nurul Hidayah, 41, memuat naik beberapa gambar di Instagram ketika dia dan suaminya bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad di pejabat masing-masing.

Terdahulu, pasangan itu tiba pada 8.10 pagi tadi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Sama2. Buatlah selalu. Kami boleh tlg gelakkan. Harga buat kami tergelak musim covid ni tak ternilai. Hahaha

  2. Untung sesiapa yg ada BINTI ZAHID atau MENANTU ZAHID atau apa2 di belakang nama ada ZAHID. Jika orang lain yg tidak ada BINTI ZAHID atau MENANTU ZAHID sudah pasti denda atau hukuman krn melanggaf arahan PKP adalah maksima RM1000 atau tiga bln penjara atas apa alasan pun. Tetapi bg mereka yg ada BINTI ZAHID / MENANTU ZAHID dikenakan denda hanya RM800 shj (RINGGIT MALAYSIA LAPAN DATUS SHJA) mungkin jg krn merdka ini ada gelaran ‘DATUK’ itu sbg bonus. Pelajar IPT, surirumah dan yg lain dikenakan denda maksima RM1000 atau tiga bln penjara, nasib badsn krn tidak ada BINTI ZAHID. Ini undang2 negara tercinta kita, berhati2lah dan ingatlah usah di langgar apa2 oeraturan jika TIDAK ADA “BINTI ZAHID” kot nanti hukuman maksima yg dikenakan!

Comments are closed.