Ketua Polis Selangor, CP Datuk Noor Azam Jamaludin

SHAH ALAM – Polis Kontinjen Selangor menafikan pihaknya bersikap dwi-standard apabila seorang pegawai kanan polis yang disyaki merogol dua wanita warga Mongolia tidak digari ketika hadir ke mahkamah pada 29 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin sebaliknya mempertahankan tindakan pihak polis itu susulan suspek bukan tahanan polis ketika dihadapkan ke mahkamah.

“Suspek tidak digari kerana status suspek itu sendiri, iaitu bukan di bawah tahanan pihak polis. Sebaliknya suspek berada dalam jaminan polis.

“Saya ingin menasihati orang ramai agar tidak mempertikaikan tindakan polis dengan mengatakan wujud dwi-standard dalam mengendalikan kes ini.

“Saya memberi jaminan yang pihak kami akan sentiasa akur dengan SOP yang telah dikeluarkan dan tidak memilih bulu dalam melaksanakan tugas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Beliau mengulas tindakan netizen di media sosial yang mempertikaikan tindakan pihak polis yang tidak menggari suspek kes pemerdagangan wanita warga Mongolia ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang dan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 dan 30 April 2020.

Dalam pada itu, Noor Azam juga menegaskan bahawa suspek yang berpangkat Inspektor itu tidak digari selepas mahkamah tersebut memberi jaminan pada 29 dan 30 April lalu.

“Memandangkan siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan masih belum selesai, jadi pada 18 April suspek telah diberi jaminan polis.

“Pada pertuduhan pertama pada 29 April di Mahkamah Sesyen Klang, suspek hadir untuk dibicarakan, suspek hadir di mahkamah dalam tempoh jaminan polis yang telah diberikan.

“Setelah dituduh, mahkamah telah memberi jaminan sebanyak RM20,000 dan suspek telah membayar jamin,” jelasnya.

Katanya lagi, bagi pertuduhan kedua pula, suspek hadir bersama peguam di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 30 April 2020 dengan bon.

“Selepas pertuduhan kedua dibuat, mahkamah telah beri jaminan RM27,000 juga telah dibayar oleh suspek,” katanya lagi. – MalaysiaGazette