Penduduk beratur untuk membuat saringan bagi membendung wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 06 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Kawalan polis dan tentera di kesemua jalan masuk ke Pasar Chow Kit di Jalan Raja Alang, Jalan Raja Bot dan Jalan Tunku Abdul Rahman diperketatkan mulai semalam malah kawat duri dipasang bagi mengawal pergerakan penduduk di kawasan terbabit.

Ia termasuklah laluan dari Kampung Baru yang dikawal oleh polis dan tentera dengan penghadang kon merah dan putih serta kawat duri.

Pagi ini pasukan petugas kesihatan pula ditugaskan di beberapa lokasi terpilih untuk membuat saringan bukan sahaja dalam kalangan penduduk malah para peniaga yang telah memulakan operasi perniagaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Para petugas kesihatan yang dilengkapi Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) mula melakukan tugasan sejak jam 9 pagi dan orang ramai beratur panjang menunggu giliran masing-masing untuk melakukan saringan.

Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dmengambil laporan ke atas penduduk bagi membendung wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 06 MEI 2020.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati para petugas kesihatan bukan sahaja menjalankan ujian saringan malah ada kalangan mereka yang pergi dari satu tempat ke satu tempat termasuk di kediamanan serta premis perniagaan dengan berpakaian PPE untuk membuat bancian.

Mereka bergerak secara individu dari kedai ke kedai dan menyoal peniaga yang ada sebelum mencatatkan membuat catatan setiap maklumat yang diperoleh.

Difahamkan kesemua yang diambil rekod akan dilibatkan dalam ujian saringan Covid-19 secara berperingkat oleh petugas kesihatan di kawasan tersebut.

Keadaan di Chow Kit terkawal dan para petugas keselamatan sentiasa memantau pergerakan keluar masuk individu selain kenderaan yang datang untuk berurusan diperiksa dan disoal siasat rapi untuk mengelak pencerobohan sewenang-wenangnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast