Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan pengguna katil oleh pesakit Covid-19 di 40 hospital khusus bagi rawatan penyakit itu di seluruh negara kini menurun ke tahap 16 peratus.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini, sebanyak 864 katil daripada 5,500 katil disediakan bagi pesakit wabak itu.

Menurutnya, jumlah penggunaan katil di 26 pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah pula adalah 3,875 katil dan jumlah yang digunakan 557 katil atau hanya 14 peratus.

”Bagi katil Penjagaan Kritikal yang khusus bagi pesakit dalam siasatan (PUI) dan pesakit CoviD-19, bilangan katil yang disediakan ialah 438 dengan penggunaan bagi pesakit itu hanyalah 19.

“Sementara alat bantuan pernafasan pula terdapat 1,091 unit dan penggunaan kepada PUI dan pesakit CovId-19 hanyalah lapan sahaja.

“Walaupun ada kemampuan kemudahan hospital dan tenaga kerja, tindakan pemantauan adalah lebih penting. Ini kerana langkah pencegahan dapat mengelak jangkitan,” katanya pada sidang media harian KKM hari ini.

Beliau ditanya kemampuan perkhidmatan kesihatan negara ini mampu menangani wabak Covid-19 dan jumlah penggunaan katil pesakit ketika ini.

Sebelum ini, penggunaan katil oleh pesakit Covid-19 di 40 hospital khusus bagi rawatan penyakit itu di seluruh negara pernah mencapai tahap 40 peratus.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ketika itu berkata, sebanyak 6,917 katil disediakan bagi pesakit Covid, 410 katil bagi rawatan kritikal di unit rawatan rapi (ICU) dan 634 ventilator. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Ini lah yang paling mencabar hendak tangani warga asing, ibarat mecari kaca dalam beras. Silap-silap boleh jadi luka dan parah Negara, seperti Singapura yang kebanyakkannya adalah warga asing positif Covid19. Selagi tidak selesai kes warga asing selagi itu lah sempadan anatara Negeri perlu dikawal.

  2. Betul Janggo. Bila ekonomi kita start rancak, takut warga negara jiran serbu masuk guna lorong tikus. Sektor pembinaan dan ladang yg kerap jd sasaran. Tauke2 pulak cukup suka amik diorg kerja sbb tauke2 ni kaya tp kedekut nk amik melalui cara sah.

Comments are closed.