foto hiasan

Oleh Christine Lim

KUALA LUMPUR – Pengumuman oleh kerajaan Malaysia baru-baru ini untuk melonggarkan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mendapat perhatian Energesse, penyedia penyelesaian penjagaan kesihatan antarabangsa yang beribu pejabat di Australia.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Dr Avnesh Ratnanesan mengingatkan bahawa gelombang kedua COVID-19 mungkin berlaku dan ternyata lebih mencabar dan menganggu corak perniagaan dan sosial dengan kelonggaran PKP di seluruh negara.

“Pendekatan yang longgar juga akan memberi kesan kepada petugas penjagaan kesihatan dan sistem kesihatan, yang kebanyakannya telah menghadapi tekanan sejak lapan minggu yang lepas dengan PKP,” kata Dr Avnesh, seorang warganegara Malaysia dan penduduk tetap Australia, kepada Bernama.

Dr Avnesh menyediakan kaedah dan khidmat nasihat kepada perkhidmatan kesihatan Australia mengenai pengurusan pandemik ini dengan lebih berkesan.

Beliau menjelaskan dengan langkah kerajaan untuk membenarkan kembali bekerja mulai 4 Mei, tahap pengurangan yang dilakukan adalah terlalu cepat berikutan negara lain kini bergelut dengan gelombang kedua disebabkan kerajaan berpuas hati dengan menganggap bahawa mereka dapat mengendalikan dengan baik gelombang yang pertama.

“Sebahagian syarikat dapat mengekalkan produktiviti dengan bekerja dari rumah dan ini perlu terus digalakkan.

“Dalam banyak keadaan, ahli ekonomi dan ahli epidemiologi ternyata bersetuju berdasarkan model berasaskan data bahawa pendekatan secara berperingkat untuk mengurangkan sekatan adalah yang terbaik untuk perniagaan dan kesihatan.

“Kerajaan di seluruh dunia bergantung kepada unjuran matematik untuk membantu membuat keputusan dalam pandemik ini,” katanya.

Dr Avnesh Ratnanesan

Dr Avnesh mencadangkan kerajaan Malaysia untuk menggunakan lebih banyak data, model dan malah algoritma berasaskan AI untuk memaklumkan dan membantu membuat keputusan mereka, berbanding pendapat yang subjektif daripada individu yang mungkin tidak memahami sepenuhnya kesukaran kesihatan awam jangka pendek dan jangka panjang serta pemboleh ubah ekonomi yang terlibat.

“Kami membangunkan peralatan digital dinamakan PMme (Pandemic Management for me). PMme adalah alat sokongan keputusan dan audit yang disesuaikan untuk Ketua Pegawai Eksekutif penjagaan kesihatan dan pengarah di hospital dan perkhidmatan kesihatan.

“Ia membantu organisasi ini mengenal pasti jurang dan kekuatan mereka terhadap amalan terbaik antarabangsa dalam aktiviti kesiapsiagaan dan tindak balas pandemik. Ia juga membantu mereka memantau dan meningkatkan kemajuan mereka dari semasa ke semasa dalam menguruskan sumber yang terhad dengan berkesan.

“Kerajaan perlu mengimbangi campur tangan jangka pendek PKP dan impak jangka sederhana yang timbul dari tempoh kuarantin selama lebih lapan minggu,” katanya.

Dr Avnesh turut mencadangkan pengenalan ’Health Hour’ kepada individu yang digalakkan untuk meninggalkan rumah mereka selama satu jam sehari dan dalam jarak satu kilometer dari rumah mereka untuk berjoging atau bersukan dalam amalan penjarakan sosial yang ditetapkan.

“Ini berfungsi sebagai penambahbaikan kepada dasar untuk meningkatkan pemikiran kesihatan yang menyeluruh dan menyokong pembangunan imuniti,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Mungkin, semua orang boleh bercakap mungkin, sila lah datang Malaysia tengok sendiri.

Comments are closed.