Sains

KUALA LUMPUR – Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd (SAINS) hari ini menasihatkan semua pengguna air di negeri itu agar membayar bil air bulanan seperti biasa bagi mengelakkan beban tunggakan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail berkata, sepanjang tempoh PKP, pihaknya telah menangguhkan semua pembacaan meter di tapak dan tidak lagi mengeluarkan bil semasa secara terus kepada pengguna.

“Penggunaan air pengguna dikira berdasarkan penggunaan bulan sebelumnya (bil anggaran) dan pelbagai kaedah semakan dan pembayaran bil air SAINS disediakan untuk pelanggan selain hadir ke Kaunter Perkhidmat Pelanggan SAINS iaitu dengan menggunakan kaedah yang lebih mudah dengan memuat turun Mobile Apps iSAINS atau pembayaran secara dalam talian (online).

“Bagaimanapun, SAINS sedia maklum terhadap kekangan yang dihadapi oleh pengguna kami tanpa telefon pintar dan kemudahan internet maka semakan bil boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Panggilan SAINS 1-800-88-6982 (beroperasi 16 jam sehari dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam).

“Malah pengguna juga boleh membuat bayaran bil secara tunai di tempat atau lokasi terpilih di negeri ini iaitu Pos Malaysia, kedai serbaneka 7 Eleven, Speedmart 99, Stesen minyak Petronas dan Shell,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambah beliau, lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang diumumkan baru-baru ini, SAINS telah mengambil langkah memulakan perkhidmatannya secara minimum pada 6 Mei lalu bermula jam 8 pagi sehingga jam 4:30 petang manakala perkhidmatan bersama pelanggan (Kaunter Khidmat Pelanggan) akan bermula pada jam 9 pagi sehingga 4 petang.

Menurutnya, sejajar dengan pengoperasian semula SAINS, berkuatkuasa Mei 2020 bacaan bil air SAINS bagi bulan Mei akan dikeluarkan mengikut bacaan sebenar di tapak (bacaan meter dipremis pengguna).

Justeru katanya, SAINS sentiasa berusaha untuk meringankan beban rakyat di Negeri Sembilan berhubung isu bil air yang menjadi keresahan pengguna dengan memanjangkan tempoh bayaran bil sehingga tamat tempoh PKP.

“Akhir sekali SAINS sekali lagi mengingatkan kepada semua pengguna air menggunakan air secara berhemah dan bersedia dengan tangki simpanan ketika kecemasan.

“SAINS berusaha memudahkan pengguna untuk mendapatkan maklumat berkaitan bekalan air dan bil melalui platform mudah dengan merujuk kepada www.sainswater.com atau FB Pusat Khidmat Pelanggan – SAINS,” tegasnya.

Bagi tujuan membuat aduan berkenaan gangguan bekalan air kepada SAINS pelbagai kaedah disediakan: Hotline Pusat Panggilan 1800886982 emel [email protected] dan SMS 06-6033500.