Keadaan trafik menuju ke Pantai Timur kelihatan lancar pada jam 10.00 pagi berikutan kerajaan membenarkan orang ramai yang terkandas untuk pulang ke rumah masing-masing dengan permulaan pergerakan dari Kuala Lumpur semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Tol Gombak, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 07 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Beberapa pintu keluar dari ibu negara dan Lembah Klang pagi ini masih lengang dengan pergerakan trafik menyaksikan jumlah kenderaan yang tidak banyak.

Tinjauan MalaysiaGazette di Plaza Tol Gombak yang menghala ke Pantai Timur mendapati tiada kesesakan kenderaan yang berlaku dan suasana masih tenang.

Keadaan yang sama turut dirasai di Plaza Tol Sungai Besi menghala ke Selatan apabila jumlah kenderaan yang bergerak di jalan raya tidak mencatatkan peningkatan mendadak.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima kira-kira 500,000 permohonan untuk pulang bekerja dan kebenaran bergerak itu bergantung kepada kelulusan Gerak Malaysia.

Inisiatif Gerak Malaysia membolehkan orang ramai yang terkandas di negeri-negeri lain ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu dan berhasrat bergerak pulang ke rumah masing-masing untuk kembali bekerja.

Polis telah memaklumkan bahawa pergerakan secara berperingkat ini akan berlangsung selama empat hari di mana bermula hari ini, pemohon Gerak Malaysia yang telah mendapat kebenaran akan bergerak pulang dari Kuala Lumpur ke destinasi masing-masing.

Esok pula melibatkan perjalanan mereka yang terkandas dari Perak, Johor dan Kelantan manakala pada 9 Mei pula melibatkan mereka dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang.

Sementara itu, pada hari terakhir Gerak Malaysia pada 10 Mei pula adalah bagi mereka yang membuat perjalanan dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu untuk kembali semula ke rumah masing-masing, katanya.

Semalam, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lebih daripada 300,000 kenderaan pemohon Gerak Malaysia akan bergerak di seluruh negara termasuk rangkaian lebuh raya PLUS sepanjang tempoh Gerak Malaysia bermula pada cuti perayaan Hari Wesak esok hingga 10 Mei ini.

PLUS telah melaksanakan Prosidur Operasi Standard selaras dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia sejak dari fasa pertama PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Setiap pemandu dinasihatkan untuk mengamalkan penjarakan sosial dengan memastikan mereka mempunyai baki yang mencukupi di dalam kad Touch ‘n Go masing-masing sebelum memasuki lebuh raya.

Ia berikutan semua urusan tambah nilai kad Touch ‘n Go menerusi pembantu khidmat pelanggan di lorong tol tidak lagi dibenarkan bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Sehubungan itu, PLUS menasihatkan orang ramai supaya membuat urusan tambah nilai di stesen minyak, kiosk layan diri, kedai serbaneka, mesin ATM dan lain-lain lokasi yang disediakan di seluruh negara. Sila rujuk lokasi SSK dan tambah nilai terdekat dengan melayari www.touchngo.com.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast