Bekas bintang Jerman, Klose dilantik sebagai penolong jurulatih Bayern Munich untuk musim depan Bundesliga Jerman 2020/21.

BERLIN – Penjaring terbanyak sepanjang masa Jerman, Miroslav Klose dilantik sebagai penolong jurulatih Bayern Munich untuk saingan Bundesliga musim depan.

Klose, 41, telah berkhidat sebagai jurulatih pasukan remaja Bayern sejak dua tahun lalu selepas bersara daripada dunia bola sepak pada 2016.

Beliau pernah beraksi bersama Bayern Munich selama empat musim bermula 2007 dan menjulang beberapa piala liga domestik.

“Ini adalah satu lagi langkah dalam karier saya sebagai jurulatih,” katanya.

Ketua Jurulatih Bayern, Hansi Flick yang baru sahaja menyambung kontrak pada April lalu pernah menjadi penolong jurulatih pasukan Jerman yang dibarisi Klose dan menjulang Piala Dunia pada 2014.

“Kami kenal rapat sejak berkhidmat dalam pasukan kebangsaan dan yakin dengan keupayaan masing-msing secara profesional dan peribadi,” katanya.

Klose menjaringkan 71 gol dalam 137 perlawanan bersama Jerman antara 2001 hingga 2014.

Dia juga pernah beraksi untuk Kaiserslautern, Werder Bremen dan kelab Serie A Itali, Lazio. – MalaysiaGazette