SAC Fadzil Ahmat
SAC Datuk Fadzil Ahmat

KUALA LUMPUR – Pemandu Toyota Hilux yang memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh seorang anggota polis menyebabkannya maut di sekatan jalan raya dibebaskan dengan jaminan polis sebelum ditangkap semula.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmat berkata, suspek sebelum ini ditahan oleh pihak Trafik untuk siasatan dibawah Sek 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada 3 Mei lalu.

Katanya, suspek kemudian direman selama empat hari sehingga hari ini.

“Bagaimanapun suspek telah dilepaskan dengan jaminan polis pada pada 8 Mei.

“Suspek telah ditangkap semula hari ini untuk disiasat di bawah Sek. 304(b) Kanun Keseksaan dan Sek. 269 Kanun Keseksaan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Selangor.

“Reman terhadap suspek yang ditahan semula pada hari ini akan dipohon di Mahkamah Majistret Kajang pada 9 Mei (Sabtu),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, suspek sebelum ini telah ditahan di lokap polis Ibu Pejabat Daerah Kajang sejak Selasa lalu selepas selesai rawatan di Hospital Kajang.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda dipandu suspek.

Pada 4 Mei lalu, Fadzil dalam satu kenyataan menegaskan buat masa ini, siasatan akan dilakukan bahagian trafik terlebih dahulu dan dalam masa sama membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana dengan cuai menyebabkan kematian.

Fadzil berkata, suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – MalaysiaGazette

 

Anggota polis maut dilanggar pemandu mabuk