Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Daerah Rembau, Negeri Sembilan yang hanya tinggal tujuh kes positif Covid-19 pada Khamis didapati naik secara mendadak semalam.

Menurut data dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, ia dipercayai kesan daripada penemuan kluster baharu di kawasan itu semalam yang dinamakan kluster Pedas.

Rembau kini mencatat kenaikan mendadak kes aktif Covid-19 dengan jumlah terkini 59 kes.

Ia menjadikan zon merah aktif kebolehjangkitan Covid-19 meningkat daripada 10 kepada 11 zon pada Jumaat.

Selain Rembau, daerah Petaling juga meningkat empat kepada 53 kes dan mukim Batu naik 3 kes kepada 101.

Sementara itu, enam zon merah didapati menurun antaranya, Hulu Langat 55 kes, Gombak 80, Ibu Kota 144, Kluang 49, Kuching 100 dan Kota Samarahan 43 kes.

Dua zon masih kekal kepada jumlah kes pada Jumaat, iaitu Kampung Baru 67 dan Seri Petaling 45 kes.

Zon kuning juga berkurang satu kawasan dan zon hijau pula masih kekal kepada 113 kawasan.

Setakat jam 12 tengah hari semalam, sebanyak 1,564 kes sedang dirawat di hospital berbanding 6,535 kes jangkitan Covid-19 di negara ini.

Kes kematian pula masih kekal 107 kes akibat Covid-19. -MalaysiaGazette