KUALA LUMPUR – Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) telah mengetengahkan program-program untuk memerkasakan kebolehan daya saing pelbagai pemegang taruh ekonomi sama ada pekerja, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) atau pun syarikat besar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari berkata, program dan perkhidmatan itu telah dirangka khas bagi meningkatkan kebolehan dan kemahiran spesifik dalam penggunaan teknologi baharu yang kini amat sesuai dipertingkatkan disebabkan permintaan tinggi bagi kebolehan berasaskan teknologi Industri 4.0 yang sejajar dengan ekonomi digital.
Jelas beliau, bagi meningkatkan kerjaya dalam sektor-sektor yang menggunapakai teknologi Industri 4.0, MARii turut mengemaskini program pembangunan modal insan seperti Pensijilan Kejuruteraan Industri Automotif (AICE) bagi lepasan universiti dan kolej dan Pensijilan Profesional Berasaskan Industri (IPC) bagi lepasan sekolah.
“Kesemua program MARii menerapkan pengetahuan asas seperti reka bentuk, proses pembuatan dan pengurusan kualiti serta telah diperbaharui untuk merangkumi teknologi terkini seperti pengurusan data raya, percetakan 3D, simulasi, realiti maya dan sebagainya.
“Program tersebut dapat membantu mereka yang terkesan akibat penurunan ekonomi dengan menambah baik kemahiran dan pengetahuan serta memberi peluang kepada mereka untuk memulakan perniagaan sendiri dalam bidang teknologi Industri 4.0.
“Syarikat-syarikat turut dapat menggunakan program-program ini untuk melatih dan menyesuaikan semula pekerja-pekerja dengan kemahiran dan pengetahuan kritikal bagi menjangkau keperluan ekonomi digital.
“Konsep program khusus ini turut memacu pemikiran di sebalik rangkuman program-program yang dibentuk oleh MARii, terutamanya PKS. Program-program peningkatan perniagaan ini dirangkumkan berteraskan penerapan teknologi, pengurusan perniagaan dan peningkatan daya upaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Madani menambah, syarikat-syarikat berupaya meningkatkan penerapan teknologi digital melalui Program Pembangunan Usahawan Teknologi (TDP) dan Platform Teknologi Pintar MARii (MITP) yang dilancarkan baru-baru ini.
Menurutnya, program-program seperti Sistem Pengeluaran Lean (LPS), Program Kecemerlangan Pembekal Automotif (ASEP) dan Program Transformasi Bengkel (WTP) telah dirangkum khas bagi meningkatkan keupayaan syarikat dalam aspek perniagaan dan operasi seperti pengurusan kewangan, pemasaran, kualiti dan penerapan teknologi digital yang membantu peniaga menyesuaikan perniagaan kepada era pasca Covid-19.
“MARii turut menjalinkan kerjasama dengan pelbagai universiti awam dan swasta tempatan serta antarabangsa dalam meningkatkan mutu pembelajaran dan saling hubungan di antara pihak akademik dan industri.
“Antara institut pengajian tinggi yang terlibat adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Swinburne University of Technology, dan University of South Australia (UNISA) yang meliputi pelbagai bidang teknologi seperti pacuan elektrik, teknologi nano, robotik, automasi dan lain-lain,” katanya.
Warga kerja, akademik dan peniaga yang berminat untuk menyertai program anjuran MARii boleh melayari laman web www.marii.my, email ([email protected]) atau saluran media sosial (@MARiiMalaysia). – MalaysiaGazette