Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan jemaah menteri menyempurnakan gimik perasmian tabung Covid-19 semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama kerajaan baharu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 11 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Tabung Covid-19 yang dilancarkan Perdana Menteri pada 10 Mac lalu telah berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM40.3 juta.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tabung itu akan digunakan untuk menyalurkan sumbangan sebanyak RM100 sehari selama 14 hari kepada rakyat Malaysia yang positif Covid-19 atau kontak rapatnya yang dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Bagi Kontak Covid-19.

Antara syarat yang dikenakan kepada pemohon adalah individu yang bekerja tetapi kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh perintah kuarantin tersebut.

Kumpulan kedua adalah individu yang bekerja tetapi telah kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh menjalani rawatan di wad hospital ekoran Covid-19.

“Saya ingin menjelaskan bahawa mereka yang berada di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak layak menerima bantuan ini,” katanya semasa sidang media hari ini.

Tambah beliau, Bantuan Khas Hilang Pendapatan ini telah diberi kepada 94 individu dengan jumlah RM125,700.00.

Selain daripada itu, Bantuan Ihsan Kematian sebanyak RM5,000 turut diserahkan kepada semua waris mereka yang telah terkorban akibat COVID-19.

Bantuan Ihsan Kematian telahpun diberi kepada 71 waris dengan jumlah RM355,000.

Sejumlah RM25,229,105.44 pula telah disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Yayasan Kebajikan Negara untuk bantuan kepada warganegara Malaysia yang memerlukan. – MalaysiaGazette