Kementerian Kewangan memutuskan untuk membatalkan rancangan menerbitkan “bon pandemik” yang mana pada asalnya merupakan sebahagian daripada usaha Indonesia untuk membiaya pengurusan Covid-19.-Gambar hiasan

JAKARTA- Kementerian Kewangan memutuskan untuk membatalkan rancangan menerbitkan “bon pandemik” yang mana pada asalnya merupakan sebahagian daripada usaha Indonesia untuk membiaya pengurusan Covid-19.

Ketua Pengarah Pembiayaan dan Pengurusan Risiko Kementerian Kewangan, Luky Alfirman berkata, kerajaan lebih berminat untuk menerbitkan bon-bon menerusi bidaan biasa.

Tambahnya, kerajaan boleh bergantung kepada Bank Indonesia (BI) sebagai jalan akhir untuk menyerap bon-bon yang telah ditawarkan sekiranya mendapat sambutan dingin daripada pasaran.

“Kami tidak akan menerbitkan bon-bon khusus termasuk bon pandemik atau sebagainya.

“BI telah dibenarkan untuk membeli bon-bon tersebut menerusi pasaran utama sebagai jalan terakhir, dengan itu kami akan menerbitkan bon menggunakan siri biasa,” katanya kepada pemberita dalam satu taklimat media hari ini.

Kerajaan awal bulan lalu merancang untuk menerbitkan pandemik bon bernilai Rp450 trilion (AS$30.05 bilion) sebagai tambahan kepada bon berdaulat bernilai Rp549.6 trilion.

BI dilihat akan mendominasi pembelian bon-bon tersebut.

Bagaimanapun, strategi baharu dibentangkan Jumaat lalu apabila kerajaan akan menerbitkan bon bernilai Rp856.8 trilion bermula pada suku kedua sehingga hujung tahun ini bagi membiayai bajet defisit yang semakin melebar.

Indonesia diunjur merekodkan bajet defisit sebanyak lima peratus berbanding KDNK tahun ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast